Polis diminta bersihkan kawasan Chow Kit
Pemuda PAS akan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membersihkan kawasan sekitar Chow Kit di ibu negara dari segala bentuk kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan samseng.
Pemuda PAS akan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membersihkan kawasan sekitar Chow Kit di ibu negara dari segala bentuk kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah, pelacuran dan samseng.
Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP), Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mahu melihat Chow Kit berubah menjadi kawasan yang bersih dan selamat seperti tempat-tempat lain di ibu negara.
"Walaupun ia sukar, Pemuda PAS yakin polis dengan kerjasama semua pihak boleh membersihkan Chow Kit dari gejala penagihan dadah, pelacuran dan kegiatan tidak bermoral," katanya.
Sebelum itu, beliau mengetuai delegasi Pemuda PAS mengadakan perbincangan dengan pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC1 Zul Hasnan Najib Baharuddin di ibu negara hari ini.
Dalam pertemuan selama sejam setengah itu, delegasi Pemuda PAS turut membincangkan isu mengenai campurtangan pihak eksekutif dan pemimpin politik dalam tugasan polis membanteras jenayah.
Menurutnya, walaupun Chow Kit secara tradisinya merupakan kawasan yang penuh dengan kegiatan pelacuran dan penagihan dadah, tetapi ia tidak seharus kekal demikian untuk selama-lamanya.
"Jika kawasan lain boleh dimajukan dan memberi keselesaan kepada orang ramai, maka tiada sebab Chow Kit tidak boleh menikmati kemajuan," katanya.
Pindahkan pejabat
Salahuddin juga berkata, mereka turut berbincang mengenai kesediaan Pemuda PAS bekerjasama dengan pihak polis untuk membasmi masalah Mat Rempit, terutama di ibu negara.
Katanya, usaha menyelesaikan masalah Mat Rempit tidak boleh dilakukan dengan melabel mereka sebagai `dajal', tetapi sebaliknya perlu mempunyai pendekatan tersendiri.
"Pemuda PAS mempunyai pendekatan iaitu program dakwah, tunjuk ajar dan khidmat nasihat untuk menarik golongan Mat Rempit kembali ke pangkuan masyarakat," katanya.
Salahuddin berkata, tidak ramai yang mahu meluangkan masa untuk mendekati golongan Mat Rempit tetapi sebaliknya lebih suka menuding jari menyalahkan mereka.
Katanya, Mat Rempit tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia boleh menimbulkan masalah lain seperti kes ragut dan pergaduhan.
Oleh itu, katanya, masyarakat tidak boleh berdiam diri dengan gejala Mat Rempit, tetapi sebaliknya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membanterasnya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, pertemuan ini juga diadakan untuk memaklumkan kepada pihak polis bahawa PAS akan memindahkan operasi pentadbirannya daripada Markas Taman Melewar ke bangunannya sendiri di Jalan Raja Laut, dua minggu lalu.

