Wanita PKR anjur himpunan perkukuh jentera pilihan raya
Wanita PKR akan mengadakan himpunan sayap parti itu pada Ahad ini bagi memperkukuh jentera dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Naib Presidennya, June Leow Hsiad Hui berkata, himpunan bertemakan Peduli, Prihatin dan Pengarusperdanaan Gender itu bakal menghimpunkan wanita dari seluruh negara di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Selain itu, ahli parlimen Hulu Selangor itu berkata sesi townhall akan turut diadakan pada program yang dijadual bermula jam 2 hingga 5 petang.

"Sesi townhall ini mengupas isu pengarusperdanaan gender dan pembinaan ekosistem selamat dalam komuniti, sejahtera belia, sejahtera negara dan implikasi kemiskinan multidimensi terhadap pemberdayaan wanita dan keluarga turut diadakan di dalam program ini.
"Ia akan diulas oleh pakar-pakar yang dibawa khas untuk program perhimpunan Wanita Keadilan," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Leow menambah, program itu diadakan bagi memperkasakan jentera pilihan raya wanita di peringkat pusat dan negeri, serta cabang dan akar umbinya.
Turut dijangka hadir ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/99882a4a1f31ee45d716725115776b05.jpg)
