Pemuda MCA tersinggung dengan jamuan Ling?
Timbalan Ketua Permuda MCA, Datuk Ling Hee Leong telah mengadakan jamuan sempena sambutan Tahun Baru Cina di luar pengetahuan pucuk pimpinan pergerakan tersebut, termasuk ketuanya, Datuk Liow Tiong Lai, demikian menurut laporan akhbar Oriental Daily hari ini.
Timbalan Ketua Permuda MCA, Datuk Ling Hee Leong telah mengadakan jamuan sempena sambutan Tahun Baru Cina di luar pengetahuan pucuk pimpinan pergerakan tersebut, termasuk ketuanya, Datuk Liow Tiong Lai, demikian menurut laporan akhbar Oriental Daily hari ini.
Akhbar itu melaporkan, jamuan tersebut yang diadakan secara 'senyap' dikatakan telah menyinggung perasaan pemimpin pergerakan itu.
Manakala Ling, menurut laporan itu lagi, didakwa berbuat demikian untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pergerakan tersebut.
Bagaimanapun, Oriental Daily memetik Ling menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa beliau menganjurkan jamuan itu atas kapasiti sebagai penyelia biro sukan Permuda MCA.
Menurut akhbar itu lagi, tindakan Ling menganjurkan jamuan tersebut juga turut menimbulkan rasa sangsi di peringkat ahli akar umbi mengenai niat sebenarnya berbuat demikian.
Agensi elak hutang Ah Long
Sementara itu, Sin Chew Daily melaporkan mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara untuk membantu orang awam mengendalikan sumber kewangan mereka.
Ia bertujuan untuk mengelak mereka daripada terjerat dengan pinjaman yang diambil daripada golongan Ah Long.
Akhbar tersebut memetik Ketua Pengarah APAK, Mohamed Akwal bahawa orang awam mahu membuat pinjaman dinasihatkan datang ke agensi tersebut untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Melalui Program Pengurusan Kredit, katanya, orang awam dibimbing dalam menggunakan sumber pendapatan mereka secara terurus.
Mohamed Akwal berkata mereka yang ingin menyertai program tersebut perlu memenuhi beberapa syarat seperti tidak diisytiharkan muflis, tidak mampu menguruskan hutang, mesti mempunyai sumber pendapatan positif, bukan di bawah tindakan undang-undang, pinjaman bukan dari institusi kewangan yang tidak dikawalselia oleh Bank Negara dan pinjaman kurang daripada RM2 juta.
Katanya lagi, khidmat nasihat itu diberikan oleh agensi tersebut kepada orang awam secara percuma.

