Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PH tubuh jawatankuasa runding dengan Muda, PSM
Diterbitkan:  Sep 21, 2022 7:23 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

PH bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia berhubung permohonan Muda untuk menyertai PH serta hasrat PSM untuk bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi.

"Majlis Presiden PH dalam mesyuarat hari ini telah meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan Muda serta hasrat PSM untuk bekerjasama secara rasmi.

"Oleh itu, Majlis Presiden hari ini bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Muda dan PSM. Jawatankuasa ini dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen PH," kata Majlis presiden PH dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor petang tadi.

Jawatankuasa itu dianggotai Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim Chee Keong, Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda dan Naib Presiden Upko Ewon Benedick.

Majlis Presiden PH berkata hasrat Muda dan PSM itu menandakan mereka sedia berada di landasan sama dengan PH bagi menghadapi PRU15, seterusnya mengelakkan pertembungan.

Terdahulu, PSM menyuarakan hasrat untuk kembali meneroka kemungkinan bekerjasama dan malah terbuka untuk bertanding menggunakan logo yang sama.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata perbincangan tidak rasmi telah diadakan sejak sekian lama dan surat rasmi berkenaan perkara itu telah dihantar dua bulan lalu.

Berkenaan Muda pula, PKR sebelum ini dilihat agak keberatan manakala DAP dan Amanah pula sebaliknya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sebarang keputusan berhubung penyertaan parti baru perlu dinilai secara menyeluruh bagi mengelakkan pengkhianatan, seperti yang dilakukan Bersatu, berulang kembali.

‘Rundingan bermula secepat mungkin’

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata jawatankuasa itu dijangka akan memulakan rundingan secepat mungkin.

"...(Rundingan dimulakan) Dalam masa satu, dua minggu akan datang, selepas itu (hasil rundingan) akan dibawa balik ke majlis presiden untuk diputuskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat majlis presiden PH hari ini.

Berkenaan reka bentuk baru logo yang akan digunakan dalam PRU15, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata ia akan dimuktamadkan dalam sehari dua lagi.

"Tadi kita bincang soal logo bersama. Ada beberapa cadangan dikemukakan dan beberapa pandangan balas.

"Jadi kita beri tempoh satu, dua hari ini untuk kita percepatkan proses (dan buat keputusan)," katanya.

Lihat Komen
ADS