Persembahan tarian singa dengan berbaju Melayu?
Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2007 di Melaka Ahad ini akan merupakan satu sambutan yang paling istimewa tetapi tanpa tarian singa walaupun ia dianggap sebagai satu kemestian dalam perayaan seumpama itu, demikian menurut laporanOriental Daily hari ini.
Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2007 di Melaka Ahad ini akan merupakan satu sambutan yang paling istimewa tetapi tanpa tarian singa walaupun ia dianggap sebagai satu kemestian dalam perayaan seumpama itu, demikian menurut laporanOriental Daily hari ini.
Akhbar itu melaporkan, penganjur acara tersebut Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah mencadangkan penari tarian singa mengenakan baju Melayu ketika membuat persembahan.
Bagaimanpun, lapor akhbar tersebut, cadangan tersebut telah ditolak para penarinya. Selepas perbincangan hangat, pihak penganjur bersetuju mereka memakai pakaian tradisi tarian Cina, tetapi hanya untuk menyambut tetamu kehormat.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Wong Kam Hoong bagaimanapun menafikan laporan tersebut.
Sebaliknya, Wong berkata, tarian singa akan dipersembahkan di majlis tersebut yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agung di Pusat Membeli-belah Hang Tuah di Melaka.
Katanya, 70 peratus daripada aturcaranya akan dipenuhi dengan persembahan kebudayaan tradisional Cina.
"Hanya 30 peratus persembahan daripada kaum lain," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Sementara itu, seorang ahli Persatuan Tarian Singa Melaka, ketika dihubungi, mengesahkan cadangan supaya penari tarian Singa mengenakan baju Melayu telah dikemukakan dalam mesyuarat dengan pihak penganjur.
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan maklumat lanjut mengenainya.
Menurut para penari terbabit, mengikut rancangan awalnya, seramai 1,000 penari singa akan mengambil bahagian, tetapi jumlah tersebut dikurangkan kepada 50 orang kerana masalah peruntukan kewangan.
Rais Yatim dibidas
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan menggesa beliau supaya menghormati kebudayaan tradisional dan adat istiadat kaum tersebut.
Katanya, apa yang dilaporkan berlaku itu, telah menyentuh perasaan masyarakat Cina sebagai satu tindakan yang tidak jujur dalam menyambut kedatangan Tahun Baru Cina.
Dalam emelnya kepada Rais, Lim berkata, sambutan seumpama itu adalah pelik dan jelas bukan caranya Tahun Baru Cina disambut di Malaysia.
Lim berkata, tidak terdapat persembahan kebudayaan Cina seperti tarian singa yang disenaraikan dalam atarcara majlis sambutan tersebut.
Menurutnya, persembahan yang disenaraikan dalam aturcara rasmi itu adalah Tarian Joget Malaysia, perbarisan dan nyanyian lagu'Budi Bahasa Budaya Kita' dan pertunjukan bunga api.
"Adakah persembahan kebudayaan Cina tidak sesuai untuk disaksikan oleh Seri Paduka? Bagi masyarakat Cina, tiada sebab mengapa tarian singa tidak boleh dipersembahkan di hadapan Seri Paduka sebagai sebahagian daripada aturcara rasmi sedang ini adalah (sambutan) Tahun Baru Cina.
"Jika persembahan kebudayaan Cina dianggap tidak sesuai untuk menjadi sebahagian daripada aturcara rasmi itu, maka kerajaan harus berhenti daripada berpura-pura menghormati kepelbagaian kaum dan budaya, dengan memperbetulkan iklan-iklan pelancongan kita," tambahnya. Berita asal

