Jawatankuasa khas ditubuh tangani kes sindiket penipuan kerja
Mesyuarat jemaah menteri pada Rabu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kes-kes sindiket penipuan pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.
"Saya juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar untuk mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi berkenaan pada 22 Sept (hari ini)," katanya.
Saifuddin yang kini berada di New York sempena sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sedang memangku tugas Menteri Luar Dr Abdul Latiff Ahmad serta seluruh jemaah menteri yang meneliti serta membincangkan isu berkenaan.
Isnin lalu Saifuddin mempengerusikan mesyuarat secara maya bersama duta-duta dan kuasa usaha sementara Malaysia di Myanmar, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam bagi mempersiapkan nota mesyuarat untuk diterangkan oleh Abdul Latiff dalam mesyuarat jemaah menteri.
"Kami juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia secara berkala dan meningkatkan penerangan media bagi isu ini," katanya.
Tambah Saifuddin kerajaan melalui Kementerian Luar serta perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara terus komited dalam memperkasakan usaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa dan membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan berasingan pada Rabu berkata 15 lagi mangsa sindiket warganegara Malaysia berjaya diselamatkan dan dibawa pulang pada Selasa.
Mereka tiba di KLIA2 dari Phnom Penh melalui penerbangan AK 535 pada pukul 11.50 malam.
Sehingga Rabu, katanya, jumlah keseluruhan laporan yang diterima kementerian membabitkan empat negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand adalah sebanyak 301 kes.
"Daripada jumlah itu, seramai 168 orang mangsa berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air," katanya.
Kementerian Luar menjelaskan, selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/4b58e48d4e9886e1953b8a242ccc353e.jpg)
