Timbalan Presiden Amanah dan Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub, dilantik sebagai pengerusi baru Pakatan Harapan (PH) Johor.

Dia yang juga Adun Simpang Jeram akan dibantu oleh tiga timbalan pengerusi iaitu Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

Jawatan setiausaha pula dipegang Faizul Salleh (Amanah), S Gopalakrishnan (PKR) dilantik menjadi bendahari, manakala Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP) sebagai ketua penerangan.

"PH Johor mengadakan mesyuarat baru-baru ini bagi memperkemas struktur kepimpinan negeri khususnya selepas PKR menyempurnakan kongres tahunan dan pemilihan parti.

"Hasil keputusan mesyuarat, PH Johor memutuskan Ahli Parlimen Pulai merangkap Adun Simpang Jeram Salahuddin Ayub sebagai Pengerusi PH Johor, " menurut kenyataan bersama PH Johor hari ini.

PH Johor turut menyatakan kesiapsiagaan jentera parti untuk berdepan segala kemungkinan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

- Bernama