Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak desas-desus yang mengatakan kenaikan pasaran saham adalah "buatan" yang sengaja diwujudkan oleh kerajaan bagi menghadapi pilihanraya umum.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kenaikan indeks komposit di Bursa Malaysia baru-baru ini adalah secara mendadak dan dipengaruhi oleh kerajaan.

Menurut laporan Bernama, saham yang diniagakan mencecah satu lagi tahap tertinggi dalam sejarah dengan jumlah 4.78 bilion saham dalam sesi dagangan hari ini.

Pada jam 5 petang semalam, Indeks Komposit Kuala Lumpur yang mengukur 100 saham berkualiti menyaksikan tahap tertinggi dalam dagangan seharian pada 1,280.51, dan mengakhiri dagangan hari ini 1.70 mata lebih rendah pada 1,276.52.

Sebaliknya, kata Abdullah, kenaikan indeks komposit di Bursa Malaysia buat masa ini adalah stabil, sekali gus menunjukkan peningkatan minat pelabur asing dan juga tempatan terhadap pasaran tempatan.

"Pelaburan dari luar negeri ke Malaysia telah meningkat tahun ini, begitu juga dengan domestik. Apabila diambil kira kedua-duanya, ia melebihi RM42 bilion.

Asas ekonomi kukuh

"Selain itu, wang kita juga bertambah kukuh. Adakah kita (kerajaan) turut memainkan perkara itu (campurtangan). Tidak," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi.

Abdullah yang baru pulang dari lawatan kerja ke Indonesia hari ini berkata kenaikan pasaran saham itu turut memperlihatkan satu asas ekonomi yang kukuh.

"Selain itu, penggabungan syarikat-syarikat besar baru-baru ini dilihat sebagai petanda baik untuk masa depan ekonomi kita. Ini adalah antara fakta-fakta yang menyakinkan pelabur-pelabur tentang ekonomi kita,"

katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata harga saham di pasaran tempatan yang agak rendah turut menjadi daya tarikan.

Di samping itu, kata beliau defisit yang terus berkurang, kedudukan ekonomi yang kukuh dan kebolehan Malaysia menangani kenaikan harga minyak di pasaran dunia dengan baik tahun lalu, juga adalah faktor lain yang menyebabkan kenaikan pasaran saham.

"Apa yang berlaku (pembangunan) di Johor Selatan juga turut menarik perhatian pelabur-pelabur asing," katanya.