Filem terbaru arahan Amir Muhammad 'Apa Khabar Orang Kampung' telah diharamkan kerana didakwa mengagung-agungkan perjuangan 'barisan bersatu komunis'.

Amir yang mendedahkan perkara tersebut dalam blognya semalam berkata, filem tersebut telah dihantar pada 18 Januari lalu kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia untuk kelulusan dan keputusan mengharamkannya dibuat pada 12 Februari.

Lembaga tersebut memberi tujuh sebab filem itu diharamkan, iaitu:

1. Tema filem ini cuba menggambarkan seolah-olah perjuangan Barisan Bersatu Komunis di Semenanjung Tanah Melayu dahulu adalah satu perjuangan yang murni dan patut mendapat penghargaan. Dengan itu mesej filem ini lebih kepada usaha pihak tersebut terutamanya ke atas anggota komunis berbangsa Melayu.

2. Filem ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tidak berlaku adil kerana tidak menghargai perjuangan mereka.

3. Filem in lebih kepada menyuarakan pendapat atau cerita di pihak komunis itu sahaja tentang pendirian dan matlamat perjuangan mereka supaya masyarakat bersimpati dan menghargai sumbangan mereka.

4. Kritikan-kritikan terhadap Kerajaan Malaysia jelas ditunjukkan dalam filem ini kerana menawarkan skim pemulihan yang tidak dapat diterima berbanding dengan kerajaan Thailand yang sedia memberikan tanah, rumah dan kemudahan asas bagi membolehkan mereka meneruskan hidup setelah berhenti dari menjadi komunis. Di samping kritikan terhadap kerajaan, institusi kesultanan dan penghinaan terhadap orang Melayu juga ditunjukkan.

5. Filem ini juga cuba memperlekehkan YM Tunku Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri Malaysia sebagai orang yang menyebabkan 'Baling Talk' menemui kegagalan sedangkan fakta yang sebenarnya ialah pihak Komunis tidak bersetuju meletakkan senjata.

6. Bekas anggota-anggota komunis itu menyamakan perjuangan mereka dengan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu yang mementang pemerintahan British seperti Dato' Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dato' Maharaja Lela, Tok Janggut dan lain-lain. Ini memesongkan fakta sejarah.

7. Filem ini tidak sesuai untuk dipertontonkan kepada masyarakat umum kerana fakta-fakta yang tepat (sic) di samping menyentuh sensitiviti dan kenangan pahit bekas anggota keselamatan dan orang awam yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis.

Sebelum ini, sebuah lagi filem arahan Amir Lelaki Komunis Terakhir juga diharamkan.

Menurutnya, beliau mempunyai masa hingga 10 Mac depan untuk membuat rayuan terhadap pengharaman filem terbarunya itu.,

Gesa tarik balik

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) menggesa supaya pengharaman ke atas filem terbaru Amir itu ditarik balik.

Pengarah Eksekutifnya, Sonia Randhawa berkata, alasan yang diberikan oleh lembaga penapisan itu melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara.

Malah, katanya, hak untuk mengkritik dasar dan tindak tanduk kerajaan adalah satu aspek penting dalam mana-mana sistem demokrasi.

Selain filem, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri baru-baru ini turut mengharamkan 56 buah buku.