Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersih Global gesa SPR bantu pengundi di luar negara
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 12:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Bersih Global menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat perubahan segera terhadap sistem pengundian di luar negara bagi memastikan peningkatan jumlah pengundi Malaysia dan memastikan mereka menggunakan hak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara pertama dalam senarai tuntutannya adalah membuka pendaftaran pengundi pos luar negara dengan segera.

“Pada masa ini, rakyat Malaysia di luar negara perlu mendaftar sebagai pemilih luar negara dalam tempoh masa yang singkat sebelum setiap pilihan raya, memberi tekanan kepada kakitangan SPR untuk memproses permohonan dan kepada pengundi untuk memohon dalam masa terhad,” kata jawatankuasa pemandu Bersih Global.

Kedua, kumpulan itu menggesa SPR membenarkan bukan warganegara Malaysia menjadi saksi bagi dokumen undi pos, berbanding syarat pada masa ini yang mewajibkan dokumen undi pos ditandatangani dan disaksikan oleh warganegara Malaysia.

Kumpulan itu berkata syarat itu menjadi batu penghalang bagi ramai rakyat Malaysia di luar negara yang tinggal di kawasan yang mempunyai sedikit bilangan atau tiada lamgsungrakyat Malaysia yang lain.

"Membenarkan bukan warga Malaysia menjadi saksi akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia di luar negara menyertai proses pengundian," kata mereka.

Selain itu, kumpulan itu menggesa SPR mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh kempen daripada minimum 21 hari kepada 25 hari bagi memberikan masa yang mencukupi untuk kertas undi pos dihantar kepada pengundi luar negara dan dikembalikan ke pusat mengundi.

Pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR) membolehkan 21.1 juta pemilih layak untuk mengundi kali ini, berbanding 14.9 juta pemilih pada PRU lalu.

SPR perlu mempunyai masa yang mencukupi untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan memastikan sistem undi pos di luar negara dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Setiausaha Agung Global Bersih, Nirmala Devi Windgatter, perubahan yang dituntut mereka boleh dibuat sebelum PRU15, kerana ia adalah perubahan prosedur yang mudah mengikut budi bicara SPR.

“Bagi memastikan proses pengundian pos di luar negara berjalan dengan berkesan semasa PRU15, perubahan ini perlu dilaksanakan secepat mungkin oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan kementerian berkaitan,” kata mereka.

Global Bersih juga menegaskan pentingnya jabatan kerajaan yang berkaitan secara proaktif menyampaikan maklumat mengenai proses pengundian di luar negara kepada rakyat Malaysia di luar negara, dengan Wisma Putra memainkan peranan dalam menyokong proses itu.

“Sebagai contoh, pengundi, perlu segera dimaklumkan bahawa mereka perlu membuka akaun pengguna di laman web SPR untuk boleh mendaftar sebagai pengundi luar negara,” kata mereka.

Lihat Komen
ADS