Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia tidak akan mengawal pergerakan pekerja asing di negara ini, demikian menurut laporan akhbar New Straits Times.

Akhbar itu memetik Perdana Menteri sebagai berkata, cadangan rang undang-undang kontroversi tersebut, yang akan memantau kira-kira 2.6 juta pekerja asing di negara ini, perlu dikaji dengan teliti.

Bercakap kepada wartawan Malaysia sewaktu lawatannya ke Jakarta, Abdullah berkata, jika undang-undang itu memberi kebaikan kepada semua pihak, termasuk pekerja asing, maka tiada salahnya ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, tambah beliau, jika tujuannya adalah untuk mengurung mereka, maka ia tidak boleh diterima.

Pelbagai pihak membantah cadangan untuk mengawal pergerakan pekerja asing, sebahagian besarnya pekerja kontrak dan perladangan, bagi menangani kenaikan kadar jenayah di negara ini.

Ahad lalu, Menteri Halehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, Malaysia akan memperkenalkan satu rang undang-undang yang mencadangkan majikan menyediakan tempat tinggal di tempat kerja, serta memantau pergerakan pekerja mereka.

Katanya, rang undang-undang itu yang mungkin diluluskan oleh kabinet bulan depan, akan mengesyorkan supaya pekerja mendaftar dengan majikan mereka apabila keluar dari kawasan tempat tinggal mereka pada hari tidak bekerja.

Polis tidak boleh campur

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini dilaporkan mencadangkan supaya pekerja asing hanya tinggal di rumah kongsi manakala pergerakan mereka dikawal sepanjang masa bagi mengelak mereka terbabit dalam jenayah.

Badan-badan hak asasi manusia termasuk Amnesty International (AI) Malaysia turut mengkritik cadangan tersebut dan akhbar the Star memetik Abdullah sebagai berkata, hak asas pekerja berkenaan tidak akan dicabul.

"Jika pihak majikan boleh menyediakan tempat tinggal yang berhampiran dengan projek mereka dan memantau pergerakan keluar masuk di kawasan masing-masing, maka saya nampak mengapa ia tidak boleh dilakukan," kata Abdullah.

"Bagaimanapun, polis tidak seharus masuk campur dalam pemantau pekerja terbabit kerana ia bertentangan dengan hak asasi mereka," katanya.

Musa dilaporkan berkata, kes jenayah yang membabitkan rakyat asing telah meningkatkan kepada kira-kira 5,000 tahun lalu kira-kira dua peratus daripada 232,620 kes jenayah yang dilaporkan.

Perangkaan rasmi menunjukkan kejadian jenayah telah meningkatkan 45.1 peratus dalam tempoh tiga tahun sejak tahun 2003.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Halehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho berkata, Malaysia akan mengharamkan rakyat asing yang mempunyai rekod jenayah daripada bekerja di negara ini. Berita asal

- AFP