Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak faham rasional Kementerian Pelajaran memberi jawatan tinggi kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan atau perguruan dalam Jabatan Pelajaran Negeri.

NUTP yang membantah tindakan tersebut berkata kemasukan PTD mengetuai sektor perkhidmatan pengurusan dan pembangunan dengan gred M52 dan diletakkan terus di bawah pengarah pendidikan negeri adalah tidak wajar.

Menurut laporan Bernama, perkara itu dibangkitkan oleh Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng ketika bercakap dalam satu sidang akhbar mengenai penstrukturan semula JPN di Kuala Lumpur hari ini.

Lok berkata, beliau tidak tahu rasional kenapa PTD mesti diberi layanan istimewa, berkerja di bawah seorang pengarah sedangkan jawatan-jawatan lain yang disandang pegawai gred gaji guru (DG) diletakkan di bawah timbalan pengarah.

Kemasukan PTD buat pertama kalinya dalam Penstrukturan Semula Jabatan Pelajaran Negeri itu diumumkan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein baru-baru ini.

Penstrukturan semula itu menerima bantahan keras sebulat suara daripada 200 perwakilan NUTP seluruh negara yang menghadiri program Kajian Pertengahan Penggal di Melaka 9 Februari lalu.

"Kami tidak halang kehadiran mereka kerana sedikit sebanyak membantu meningkatkan kecekapan serta memantapkan pengurusan dan pentadbiran. Persoalannya jawatan itu lebih sesuai dipegang oleh mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan atau perguruan.

Sekat peluang

"Kehadiran mereka tidak semestinya memegang jawatan tinggi dan situasi ini dilihat sebagai permulaan usaha untuk mengambil alih semua jawatan di JPN selain menghalang peluang kenaikan pangkat di kalangan guru," katanya.

Lok menegaskan jawatan itu sepatutnya perlu dipegang oleh pegawai pelajaran sementara PTD diletakkan di bawah mereka.

"Kertas cadangan mengenai perkara ini sedang disiapkan dan akan dikemukakan dalam masa terdekat sebelum pertemuan NUTP dengan Menteri Pelajaran untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut," katanya.

Antara cadangan lain yang turut dikemukakan ialah gesaan NUTP agar diwujudkan lebih banyak jawatan gred 44 di JPN untuk memberikan peluang guru menimba pengalaman dan kemahiran dalam bidang pengurusan.

"Kekurangan gred 44 di JPN menyebabkan berlaku lambakan jawatan itu di sekolah. Di JPN sekarang banyak di kalangan gred DG41 dan bila mereka naik pangkat terpaksa dihantar ke sekolah semula.

"Selepas DG44 mereka akan dinaikkan ke jawatan pengetua atau penolong kanan. Jadi JPN adalah satu landasan sesuai untuk mereka menimba pengalaman dalam bidang pengurusan dalam skop lebih luas," katanya.

Selain itu, NUTP turut mencadangkan agar gred ketua sektor pendidikan Islam dan Moral serta sektor pembangunan kemanusiaan yang sekarang ini gred 48 diselaraskan dengan ketua sektor yang lain iaitu gred 52.