Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBB seru selaraskan langkah sekat akses kewangan tentera Myanmar

GLOBAL | Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, menggesa selaraskan langkah bagi menyekat ekonomi rejim tentera di Myanmar, susulan kadar kemiskinan dan kerosakan sistem kesihatan awam di Myanmar terus merosot dua kali ganda sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lepas.

"(Kita perlu) mengekang kepentingan ekonomi Tatmadaw khususnya, akses terhadap pendapatan dan pertukaran wang asing yang menjadi elemen penting untuk mencegah pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan," pemangku Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Nada al-Nashif, memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia sesi ke-51 di Geneva.

Tatmadaw ialah nama rasmi angkatan tentera negara itu.

Ketika membentangkan hasil pencarian fakta di Myanmar (FFM), al-Nashif berkata pasukan PBB mendapati lebih separuh kanak-kanak tidak mendapat pendidikan selama dua tahun, lapor Agensi Anadolu.

FFM menyeru langkah bersasar terhadap entiti utama yang memudahkan akses Tatmadaw kepada mata wang asing, termasuk syarikat minyak dan gas nasional iaitu Myanma Oil and Gas Enterprise, yang menjana kira-kira 50 peratus daripada pendapatan asing negara.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa tentera mempunyai akses terbuka kepada pertukaran asing menggunakan akaun bank di luar negara, lalu menyeru negara-negara anggota PBB untuk melaksanakan sekatan tambahan.

“Walaupun kemerosotan ekonomi, politik, kewangan dan sosial yang dramatik di negara ini, tentera terus mengutamakan operasi ketenteraan dengan meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta mengurangkan peruntukan bajet untuk pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial,” menurut laporan itu.

Kira-kira 2,299 orang, termasuk 188 kanak-kanak, telah terbunuh sejak Tatmadaw melancarkan rampasan kuasa pada tahun lepas.

Sementara itu, hampir 30,000 bangunan, termasuk perkampungan, sekolah, gereja dan tempat ibadat serta objek dilindungi telah dibakar dan dimusnahkan.

“Kami menggesa semua perniagaan yang aktif di Myanmar atau menjana pendapatan dari negara itu untuk mengambil langkah yang perlu demi memastikan operasi mereka tidak memberi manfaat ekonomi kepada tentera,” menurut laporan PBB itu.

Bagaimanapun, ia menyeru syarikat yang menghentikan pelaburan atau memisahkan diri daripada rantaian bekalan di Myanmar supaya mengambil "langkah bertanggungjawab melindungi kepentingan pekerja dan pengguna."

- Bernama

Lihat Komen
ADS