Cuai: Tiada lagi kompromi, amaran KPN
Tiada lagi kompromi begitulah amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap anggota polis yang cuai sehingga menghilangkan bahan bukti sesuatu kes.
Tiada lagi kompromi begitulah amaran Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap anggota polis yang cuai sehingga menghilangkan bahan bukti sesuatu kes.
Katanya, semua anggota polis mesti menjadikan kes seorang lelaki yang dibebas dan dilepaskan oleh
mahkamah semalam dari tuduhan mengedar 61,750 pil khayal lima tahun lalu, sebagai pengajaran untuk memperbaiki mutu kerja.
"Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah diuji apabila gagal dalam kes Man Datuk di Ipoh bulan lepas dan sekarang kes dadah ini pula...
" anggap ini sebagai satu cabaran dan saya jamin PDRM akan sentiasa berada pada tahap yang terbaik...kami pasti akan atasi segala kekurangan," katanya ketika dihubungi Bernama.
"Kes ini gagal kerana kehilangan 49,000 pil khayal yang menjadi bahan bukti. Yang penting sekarang ialah memastikan tiada lagi perkara seumpama ini berlaku. Saya tidak akan berkompromi lagi dengan perkara seperti ini," katanya.
Amat dikesali
Musa berkata, kecuaian dalam kes itu adalah suatu yang tidak patut berlaku dan amat dikesali.
Dalam perbicaraan semalam, bekas pengusaha pusat karaoke, Tua Bit, 63, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada pertuduhan mengedar 61,750 pil erimen 5, di Batu 9, Cheras pada 25 November 2002.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1962, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes itu sebelum ini kecoh setelah keseluruhan 49,000 pil khayal itu disedari hilang oleh polis. Jumlah itu termasuk 10,000 yang dianalisis oleh dua ahli kimia.
Ahli kimia itu mengesahkan bahawa selepas proses analisis, kotak berisi bahan bukti itu telah diserahkan kepada polis.

