Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kini mendahului pencalonan bagi jawatan timbalan presiden parti itu.

Sehubungan itu, beliau dijangka mengumumkan esok sama ada akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Azmin dijangka membuat pengumuman tersebut sewaktu mesyuarat PKR Gombak pimpinannya yang akan berlangsung di Anjung Rahmat, jam 9 pagi esok.

Menurut sumber PKR, beberapa ketua bahagian dari Selangor dan Kuala Lumpur dijangka hadir untuk memberi sokongan kepada Azmin.

Selepas sepuluh bahagian PKR mengadakan mesyuarat ini, Azmin mendahului dengan mendapatkan enam pencalonan manakala penyandang jawatan tersebut, Syed Husin Ali menerima dua pencalonan.

Dua lagi pemimpin PKR yang turut dicalonkan oleh jawatan timbalan presiden ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua (bahagian Tanjung) manakala bahagian Merbok pula mencalonkan bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor.

Azmin mendapat pencalonan daripada bahagian Lumut, Kelana Jaya, Bagan Serai, Ketereh Bukit Gantang dan Sungai Petani.

Tiga calon presiden

Manakala Syed Husin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden, mendapat dua pencalonan iaitu dari bahagian Kuala Kangsar dan Sabak Bernam.

Muka baru, Datuk S Nallakarupan yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden telah mendapat dua pencalonan iaitu dari bahagian Sabak Bernam dan Merbok.

Selain Nalla, bahagian-bahagian lain yang telah bermesyuarat turut mencalonkan penyandang jawatan naib presiden sekarang Azmin, Mustaffa Kamil Ayub dan Dr Lim Boon Chye.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini penasihat PKR pula mendahului pencalonan untuk jawatan presiden dengan tujuh pencalonan manakala dua bahagian lagi mencalonkan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Manakala bahagian Merbok yang bermesyuarat semalam mencalonkan bekas Timbalan Presiden PKR, Abdul Rahman Othman untuk bertanding jawatan presiden.

Bahagian yang mencalonkan Wan Azizah ialah Sungai Petani dengan Kuala Kangsar. Kecualil Merbok, yang lainnya mencalonkan Anwar.

Sebanyak 167 bahagian PKR di seluruh negara akan mengadakan mesyuarat bahagian yang bermula pada 1 Februari lalu dan dijadual berakhir pada 31 Mac depan.

Setiap bahagian akan menghantar 12 perwakilan ke Kongres Nasional PKR di Seremban Mei depan yang terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian serta yang dipilih dalam mesyuarat perwakilan.

Pencalonan yang dibuat di peringkat bahagian akan dihantar ke ibu pejabat untuk calon-calon mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan tersebut.