Ezam setuju Datuk Nalla tanding naib presiden PKR
Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor berkata, beliau setuju Datuk S Nallakarupan bertanding jawatan naib presiden dalam Kongres Nasional parti Mei ini.
Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor berkata, beliau setuju Datuk S Nallakarupan bertanding jawatan naib presiden dalam Kongres Nasional parti Mei ini.
"Jika saya menjadi perwakilan, saya akan mengundi Datuk Nallakarupan. Tetapi saya perlu bertanding menjadi perwakilan peringkat bahagian Shah Alam terlebih dahulu, sebelum boleh berbuat demikian.
"Pada Kongres Nasional lalu, saya menjadi perwakilan secara automatik atas kedudukan saya sebagai ketua bahagian Shah Alam...kali ini saya tidak memegang sebarang jawatan dalam parti lagi," katanya.
Ezam berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nallakarupan yang mendakwa Ezam dan Naib Presiden Azmin Ali turut menyokong beliau bertanding Naib Presiden PKR dalam kongres parti itu di Seremban, Mei depan.
Nallakarupan yang juga bekas timbalan ketua Pemuda MIC itu mengumumkan untuk bertanding jawatan naib presiden kepada kira-kira 100 ahli PKR keturunan India dalam satu perjumpaaan di ibu negara, Selasa lalu.
Bagaimanapun, Ezam yang melepaskan semua jawatannya dalam PKR timbalan pengerusi Selangor dan ketua bahagian Shah Alam pada 11 Februari lalu, enggan mengulas panjang lebar mengenai kenyataan Nallakarupan itu.
'Kawan baik'
"Saya sudah tidak ada apa-apa jawatan dalam parti. Oleh itu saya merasakan tidak sesuai untuk membuat kenyataan yang lebih panjang mengenai Datuk Nallakarupan.
"Bagi saya kenyataan Datuk Nallakarupan itu berdasarkan hubungan saya yang merupakan kawan baik beliau," katanya.
Malaysiakini,
bagaimanapun, gagal menghubungi Azmin untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai kenyataan Nalla tersebut.
Sementara itu, Nalla telah mendapat dua pencalonan untuk bertanding jawatan naib presiden, Mei ini. Bahagian tersebut ialah Sabak Bernam dan Merbok. Ini bermakna beliau kini layak bertanding jawatan tersebut.
PKR mempunyai lima naib presiden iaitu Azmin, S.Sivarasa, Dr Lim Boon Chye, Mustaffa Kamil Ayub dan Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak.
Sivarasa dan Mustaffa Kamil mengesahkan mereka akan mempertahankan jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan parti itu di Seremban, Mei ini.

