Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tolak pendirian pihak label parti Melayu-Islam musuh utama
Diterbitkan:  Sep 26, 2022 9:38 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

PAS hari ini menegaskan parti itu tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan pertubuhan Melayu dan Islam lain sebagai musuh utama mereka.

Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak, kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ini dua hari selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan BN adalah musuh utama gabungan itu dalam PRU15.

"Ia apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.

"Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan

yang dipimpin bersama," kata Takiyuddin.

Berucap ketika sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya dua hari lalu, Muhyiddin berkata semua parti komponen dalam PN - termasuk PAS - bersetuju bahawa BN adalah musuh utama dalam PRU akan datang.

"Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN," katanya.

Kenyataan Muhyiddin itu dilihat bercanggah dengan PAS yang meletakkan PH sebagai musuh utama, manakala BN adalah rakan taa'wun (kerjasama) mereka.

Malah pada 20 Sep lalu, PAS menegaskan bahawa PH merupakan musuh mereka pada PRU15, bukannya BN.

Justeru, kata Takiyuddin lagi, semua pemimpin dan ahli PAS diminta akur dan wala' kepada arahan Mursyidul Am Hashim Jasin untuk merealisasikan apa yang disifatkan sebagai agenda penyatuan ummah.

"PAS sentiasa yakin hanya dengan perpaduan di antara parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil,

adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS