Selagi plaza tol Sungai Nyior di Butterworth tidak dirobohkan, maka selagi itulah ada kemungkinan bayaran tetap akan dikenakan juga terhadap penggunanya selepas pilihanraya umum akan datang, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, keengganan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu untuk merobohkan plaza tol yang dikatakan sebahagian daripada projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) itu, menunjukkan penangguhannya hanyalah sementara untuk meredakan bantahan orang ramai.

Dalam satu kenyataannya, Lim berkata, beliau percaya bayaran tol akan dikenakan juga di laluan Sungai Nyior apabila kerajaan menang besar dalam pilihanraya umum akan datang.

"DAP telah mendesak kerajaan supaya jangan menangguhkannya tetapi sebaliknya, membatalkan terus kutipan tol di plaza Sungai Nyior kerana laluan itu sudah lama wujud dan digunakan oleh orang ramai secara percuma sejak 10 tahun yang lalu.

"Tanpa merobohkan plaza tol di Sungai Nyior, adalah jelas bahawa kerajaan berniat untuk mengutip tol juga akhirnya dan penangguhannya adalah hanya sementara bagi Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihanraya umum," kata Lim.

Katanya, kegagalan menteri kerjaraya itu menggunakan kuasanya untuk memansuhkan kutipan tol yang tidak adil dan tidak munasabah demi kebaikan rakyat, mencerminkan kegagalannya menjalankan tanggungjawabnya menjaga kebajikan rakyat.

Adakan dialog

Sehingga ini, katanya, Samy Vellu belum lagi menjelaskan mengapa kos pembinaan BORR meningkat daripada RM410 juta pada1998 kepada RM700 juta sekarang.

"Seperkara lagi, siapakah yang membayar bagi penangguhan kutipan tol di Plaza Sungai Nyior syarikat konsesi atau kerajaan?

Memandangkan sebahagian besar perjanjian konsesi lebuhraya memihak kepada syarikat konsesi melalui jaminan bayaran pampasan jika mereka tidak dibenar menaikkan kadar tol, maka tegas Lim, rakyat berhak mengetahui berapa banyakkah pampasan yang dibayar.

Lim berkata, Samy Vellu tidak mendedahkan kandungan perjanjian konsesi tersebut ataupun jumlah pampasan yang dibayar.

"Samy Vellu menegaskan bahawa laluan di plaza tol Sungai Nyior adalah sebahagian daripada BORR dan bukan jalan lama.

"DAP mencabar Datuk Samy Vellu supaya mempunyai keberanian politik dan menghormati proses demokrasi dengan mengadakan dialog dengan penduduk terbabit mengenai perkara itu bagi menentukan siapakah yang bercakap benar dan sama ada berpatutan untuk mengutip tol tersebut," katanya.