Bagaimana boleh berlaku letupan hingga menyebabkan orang awam cedera dan terkorban, pada hal kawasan yang dibom sedang dironda dan dikawal oleh anggota tentera?

Bagaimana pengkhianat dapat melarikan diri, sedangkan tentera dan polis sentiasa memantau pergerakan orang awam yang keluar masuk di kawasan terbabit?.

"Sebuah sekolah dibakar oleh pelampau sedangkan sekolah itu dikawal oleh tentera, bagaimana pelampau boleh masuk dan membakar sekolah itu?," tanya seorang imam.

Persoalan ini turut disuarakan oleh pemimpin-pemimpin lain masyarakat di selatan Thailand berhubung siri pengeboman yang berlaku hampir serentak baru-baru ini di empat wilayah bergolak Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.

Pihak berkuasa mendakwa pengeboman itu dilakukan oleh pelampau Islam yang memperjuangkan pemisahan wilayah berkenaan, namun ada pula yang mendakwa keganasan dilakukan oleh "pihak lain".

Bekas Anggota Parlimen Narathiwat Mat Sidek Wanli dalam satu pertemuan dengan Bernama berkata, kerajaan mesti bertindak tegas untuk mengenalpasti siapa sebenarnya yang melakukan serangan dan pengeboman.

"Kalau pelampau, siapa? tangkap dan bicara mereka...kalau bukan kumpulan pelampau, siapa?...tangkap dan penjara mereka," katanya.

Menuding jari

Mat Sidek berkata tiada pihak yang boleh menuding jari dengan menuduh sewenang-wenangnya kumpulan pelampau Islam, sedangkan sampai sekarang kerajaan tidak dapat memberi bukti penglibatan pelampau Islam.

"Saya tidak mahu sebut siapa "pihak lain" yang mungkin boleh dikaitkan dengan peristiwa itu, kerajaanlah yang berhak menyiasatnya," katanya.

Menjawab soalan pemberita, Mat Sidek berkata pasukan tentera tidak perlu ditempatkan di wilayah berkenaan, kerana mungkin tentera yang menyebabkan keganasan itu berlaku dan menghuru-harakan penduduk.

"Kami inginkan kedamaian, hidup bersatu dan dapat menjalankan aktiviti harian sebagaimana biasa," katanya.

Mat Sidek berkata, sebagai pemimpin, sukar baginya menuding jari kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan keganasan kerana ini boleh mengancam nyawanya dan keluarga.

Beberapa imam turut melahirkan rasa kecewa dengan keadaan huru-hara yang berterusan tanpa ada usaha pihak berkuasa untuk menstabilkan wilayah itu.

Imam Sungai Padi Hoesin Abase berkata sepanjang pengetahuannya, beliau tidak pernah kenal kumpulan pelampau yang cuba mengeruhkan suasana harmoni di wilayah ini kecuali kumpulan Pertubuhan Pembebasan Patanni (Pulo) yang suatu ketika dulu melakukan kekejaman ke atas penduduk kampung.

Cetus huru-hara

"Sekarang tidak tahu siapa, saya yang tinggal di kawasan merah pun tidak tahu orang yang melakukan pembunuhan," kata seorang penduduk yang enggan menyatakan namanya.

Agak sukar untuk menentukan siapa yang jahat dan siapa yang baik di sini, yang pasti, katanya, tindakan tentera telah menimbulkan huru-hara berpanjangan.

"Malam-malam tentera masuk kampung dan menceroboh rumah penduduk, menahan lelaki yang tidak berdosa, ibu dan anak-anak serta wanita lari dalam gelap dan tidur di bawah rumah," katanya.

Semua itu gara-gara "memburu pengganas" yang belum ditemui oleh pasukan keselamatan hingga sekarang.

Beliau berkata banyak kampung hanya didiami oleh kaum wanita sahaja manakala kumpulan belia lelaki dan dewasa meninggalkan kampung halaman kerana takut dengan tindakan tentera.

"Kalau sebelum ini anak-anak dan ibu bapa ke bendang bercucuk tanam ...tetapi sekarang suasana itu sudah tiada lagi kerana hanya kaum wanita yang terpaksa `mencuri' masuk ke sawah," katanya.