Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu culik: Melaka bincang dengan jabatan pendidikan negeri
Diterbitkan:  Sep 27, 2022 2:25 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka berkaitan isu culik dalam masa terdekat, kata Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata mesyuarat itu akan membincangkan langkah-langkah yang sesuai diambil dalam usaha mengekang jenayah tersebut di negeri berkenaan.

"Saya rasa ada ibu bapa yang lahirkan kebimbangan berkaitan perkara ini walaupun tiada kejadian tersebut berlaku di Melaka setakat ini, namun kerajaan negeri mengambil berat mengenai perkara tersebut.

"Kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes berkenaan tidak berlaku di Melaka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknologi Grid Pintar Melaka 2022 di Melaka hari ini.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah di sini Jumaat lepas, yang tular menerusi media sosial.

Beliau dipetik sebagai berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu kanak-kanak terbabit 9 malam hari sama.

Kes itu tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak berkenaan memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS