Saya tidak perlu tergesa-gesa, kata Azmin
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata beliau juga tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan mengenai pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam kongres nasional parti itu di Seremban, Mei depan.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata beliau juga tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan mengenai pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam kongres nasional parti itu di Seremban, Mei depan.
Sambil menegaskan bahawa mesyuarat bagi kesemua 167 bahagian parti itu hanya akan berakhir pada 31 Mac ini, Azmin bagaimanapun berkata, beliau akan mengambilkira kehendak ahli dan bahagian yang mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan nombor parti itu.
"Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang orang lain untuk bertanding sebarang jawatan dalam kongres tersebut.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Azizah Ismail tidak boleh menghalang proses pemilihan dalam PKR yang ditetapkan tiga tahun sekali itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PKR bahagian Gombak hari ini.
A
zmin yang juga pengarah pilihanraya PKR berkata, Dr Syed Husin Ali telah mengumumkan dalam kongres nasional PKR di Pulau Pinang tahun lalu bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam kongres di Seremban kelak.
Begitupun, katanya sehingga hari ini beliau (Azmin) juga tidak pernah mengatakan yang beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan kali ini.
Rekod perkhidmatan
"Saya juga tidak berkempen secara terbuka atau menggunakan SMS untuk mengatakan saya akan bertanding (timbalan presiden) walaupun ia dibenarkan oleh parti," katanya.
Sebaliknya, kata Azmin, beliau menyerahkan kepada rekod perkhidmatannya di dalam parti untuk dinilai oleh ahli.
Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau mengutamakan muafakat dalam parti dan akan berbincang dengan pemimpin tertinggi parti itu terlebih dahulu berhubung pencalonan baginya bertanding jawatan timbalan presiden.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan mengenainya dengan Anwar (penasihat PKR), Wan Azizah (presiden) dan Dr Syed Husin.
Katanya, selepas mengadakan perbincangan tersebut, barulah beliau akan membuat keputusan sama sama ada menerima atau tidak pencalonan tersebut.
Gombak calon Nalla
"Saya akan bertemu dengan mereka secepat mungkin...mungkin minggu depan," katanya.
Menurut Azmin lagi, Majlis Pimpinan Parti (MPT) telah mencadangkan supaya pemilihan pucuk pimpinan ditangguhkan selepas pilihanraya umum tetapi Anwar dan pihak parti mahu pemilihan diteruskan.
"Kerana kita percaya kepada kebijaksanaan ahli parti dalam soal pemilihan pucuk pimpinan, jadi ia tidak perlu takut kepada pemilihan tersebut," katanya.
Sementara itu, PKR bahagian Gombak sebulat suara mencalonkan Azmin untuk jawatan timbalan presiden.
Anwar pula dicalonkan bagi jawatan presiden. Bahagian itu turut mencalonkan Datuk Nallakarupan (foto), Dr Lee Boon Chye dan Fuziah Salleh untuk jawatan naib presiden.
Manakala pemangku Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin,dicalonkan bagi jawatan ketua pergerakan tersebut.

