Azmin dakwa ada pihak lagakan beliau dengan Ezam
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali merayu kepada bekas Ketua Angkatan Muda parti itu, Ezam Mohd Noor supaya bersedia bertemu dengannya bagi menyelesaikan krisis antara mereka berdua.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali merayu kepada bekas Ketua Angkatan Muda parti itu, Ezam Mohd Noor supaya bersedia bertemu dengannya bagi menyelesaikan krisis antara mereka berdua.
Azmin mendakwa, ada pihak ketiga dari dalam dan luar PKR yang yang tidak senang dengan hubungan beliau dengan Ezam dan bertindak melaga-lagakan mereka bagi kepentingan pihak tertentu.
"Saya memohon kerjasama saudara-saudara yang hadir dan juga wakil Badan Perhubungan PKR Selangor supaya mengatur pertemuan antara saya dengan Ezam.
"Sebutkan tempat, tarikh dan masa, saya akan pergi berjumpa dengan Ezam," katanya kepada perwakilan dalam ucapan penangguhan mesyuarat PKR bahagian Gombak, di ibu negara hari ini.
Azmin berkata, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menemui Ezam baru-baru ini untuk mendapatkan gambaran dan menyelesaikan krisis tersebut.
Bagaimanapun, kata Azmin, sehingga hari ini Ezam tidak memberi reaksi terhadap permintaan Anwar supaya beliau bertemu secara rasmi dengannya untuk menyelesaikan krisis tersebut.
Menurutnya, beliau tidak bermusuh dengan Ezam ataupun dengan pemimpin-pemimpin lain dalam PKR.
"Malah saya tidak tahu punca sebenar yang menyebabkan berlakunya krisis antara saya dengan Ezam," katanya.
Azmin berkata, tidak ada orang lain yang boleh mendakwa mereka lebih rapat dengan Ezam kecuali beliau sendiri.
'Sahabat baik'
"Ezam adalah sahabat baik saya sejak awal lagi...beliau merupakan keluarga besar saya.
"Ezam telah memberi sokongan dan pengorbanan yang cukup besar kepada parti. Apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat atau beliau tidak mendapat maklumat terkini dan tepat mengenai parti, terutama menjelang Kongres Nasional Mei ini," katanya.
Katanya, beliau sedia pergi ke rumah Ezam di Shah Alam untuk menyelasaikan krisis antara mereka berdua.
"Saya telah memberitahu kesediaan saya itu kepada dua orang kuat Ezam iaitu Setiausaha Angkatan Muda PKR, SD Johari Md Yassin dan Ketua Angkatan Muda Terengganu, Wan Anies Wan Awang tetapi belum mendapat jawaban.
"Mungkin saya akan meminta Datuk Seri Anwar untuk mengatur pertemuan antara saya dengan Ezam sekali lagi," katanya.
Bagaimanapun Azmin enggan mengulas sama ada krisis antara beliau dengan Ezam itu boleh menjelaskan PKR, terutama dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Tetapi, katanya, PKR semakin kuat kerana mendapat sokongan dari kaum Cina selain sokongan luar biasa di Sabah dan Pulau Pinang.

