PPP minta balik empat kerusi Parlimen, 12 kerusi DUN
Parti Progresif Penduduk (PPP) meminta rakannya dalam Barisan Nasional (BN) memulangkan semula empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah dimiliki oleh PPP suatu ketika dulu.
Parti Progresif Penduduk (PPP) meminta rakannya dalam Barisan Nasional (BN) memulangkan semula empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah dimiliki oleh PPP suatu ketika dulu.
Presiden PPP Datuk M. Kayveas mendakwa empat kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN itu kini dipegang oleh Umno, MCA, MIC dan Gerakan.
Sebagai parti dalam komponen Barisan Nasional (BN), katanya, beliau akan mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat BN akan datang dan terserah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi BN membuat keputusan.
"PPP tidak kisah kawasan mana, yang penting untuk kerusi Parlimen masing-masing Umno, MCA, MIC, Gerakan beri balik satu kerusi manakala kerusi DUN masing-masing pulangkan balik tiga kerusi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran PPP di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Menurut laporan Bernama, Kayveas berkata empat kerusi Parlimen iaitu Beruas, Sungai Siput, Ipoh Barat dan Gopeng, serta 12 kerusi DUN dimiliki PPP pada 1972, tetapi bilangannya berkurangan berikutan masalah kepimpinan yang melanda parti itu pada 1975.
PPP, katanya, kini mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Taiping yang diwakili beliau sendiri dan satu kerusi DUN iaitu Pasir Berdamar dalam kawasan Parlimen Teluk Intan.
Layak mengundi
Katanya memandangkan PPP semakin kuat dengan mempunyai kira-kira setengah juta ahli yang layak mengundi, maka adalah wajar jumlah kerusi tersebut dikembalikan kepada PPP.
Dalam perkembangan lain, Kayveas yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata langkah perlu diambil bagi mengatasi masalah ramai rakyat yang muflis akibat penggunaan kad kredit.
Beliau berkata mengikut rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, antara kumpulan ramai yang diisytiharkan muflis ialah mereka yang gagal menjelaskan hutang kad kredit.
"Memiliki kad kredit sekarang ini bukan satu privilege (keistimewaan) lagi, sesiapa sahaja boleh dapat kad kredit, di mana-mana sahaja malah di pasar raya pun, bank-bank bersaing sesama mereka untuk menawarkan kad kredit kepada orang ramai," katanya.
Beliau berkata malahan ada orang yang terpaksa meminjam dari ceti haram atau Ah Long untuk membayar hutang kad kredit.
Kayveas berharap Bank Negara dapat membantu memastikan bank-bank tidak menawarkan kad kredit sewenang-wenangnya yang akhirnya menyebabkan ramai yang muflis.

