Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maybank tak guna lagi SMS OTP menjelang Jun 2023

Maybank akan beralih sepenuhnya kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat melalui Secure2u menjelang Jun 2023 untuk aktiviti atau transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

"Ini adalah selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank berhijrah daripada Kata Laluan Satu Kali SMS (SMS OTP) kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi-transaksi ini," kata bank dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun (setiap pelanggan) untuk meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan emel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli berkata ini adalah sejajar dengan usaha bank untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.

“Kami kekal komited dalam membantu pelanggan kami bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu.

"Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu untuk menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan,” katanya.

Maybank juga menyokong pengumuman BNM pada 26 Sept 2022 (Isnin) berhubung  langkah-langkah yang akan diguna pakai oleh bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih.

'Industri perbankan komited untuk bekerjasama untuk memerangi penipuan kewangan yang semakin berleluasa dalam persekitaran digital hari ini,” tegas beliau.

Selain itu, Maybank juga telah menyediakan talian hotline 24/7 khusus untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan.

Pelanggan digesa untuk menghubungi talian hotline penipuan di +603 5891 4744 dengan kadar  segera jika mereka mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas atau telah berlaku transaksi yang mencurigakan atau sekiranya mereka ingin menggantung akaun bank mereka dengan pantas.

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan Maybank di 1 300 88 6688.

Maybank sentiasa berkongsi kandungan bermaklumat di laman web Maybank2u dan di Facebook dan Instagram, dalam usaha untuk mengingatkan dan mewujudkan kesedaran di kalangan pelanggan tentang bahaya penipuan kewangan ini. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS