Pelakon drama, Rosnah Mat Aris, telah memohon maaf mengenai komennya berhubung gosip tentang perhubungannya dengan seorang lelaki lebih muda daripadanya, dengan mengaitkan isteri Nabi Muhammad.

Rosnah membuat komen tersebut sewaktu program Sensasi yang disiarkan secara langsung di TV3 pada 30 Januari lalu.

Ekoran itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan supaya program tersebut tidak lagi disiarkan secara langsung.

Dalam program mengenai industri seni dan hiburan itu, Rosnah dilaporkan mengibarat gosip mengenai hubungannya dengan seorang lelaki yang lebih muda, dengan perkahwinan Rasulullah dengan Siti Khadijah yang lebih tua daripada Baginda.

"Saya sedar saya telah membuat kesilapan dan saya memohon maaf kepada setiap orang di negara ini," katanya dalam laporan akhbar the Star semalam.

Menurut SKMM, program yang disiarkan pada 30 Januari itu tidak mematuhi kod kandungan dan perlesenan. Stesen TV penyiarnya, TV3, katanya, juga gagal mengawal isi kandungannya.

Tiada lagi siaran langsung

Jurucakap suruhanjaya itu juga berkata, TV3 kini perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Penapisan Filem sebelum menyiarkan rakaman program mingguan tersebut.

Komen Rosnah itu telah mencetuskan bantahan penonton dan turut menarik perhatian pihak berkuasa agama Islam.

TV3 dan beberapa media tempatan pernah diberi amaran sebelum ini kerana menyiarkan kandungan yang dianggap menghina Islam.

Pada Mac tahun lalu, TV3 dan sebuah lagi syarikat TV swasta, ntv7, telah memohon maaf kerana menyiarkan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad yang turut mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia.

Pihak berkuasa di Malaysia telah menutup sebuah akhbar di Sarawak pada Februari 2006 kerana menerbitkan karikatur tersebut.

Sebuah lagi akhbar telah digantung penerbitannya manakala yang sebuah lagi telah memohon maaf selepas menyiarkan kandungan yang berkaitan dengan kartun tersebut.