Naib presiden PKR adukan pemimpin MIC ke polis
Naib Presiden PKR K Saraswathy membuat laporan polis ke atas Presiden MIC SA Vigneswaran dan timbalannya M Saravanan, atas dakwaan menghasut ahli parti supaya membuat serangan peribadi terhadapnya.
"Saya, membuat laporan polis ini terhadap Vigneswaran dan Saravanan kerana membuat dan menghasut ahli-ahli mereka membuat serangan peribadi terhadap saya dalam bentuk penderaan lisan.
"Ia dibuat melalui rakaman audio yang mana kemudian ditularkan di seluruh negara melalui ahli-ahli MIC," katanya dalam laporan itu.
Saraswathy membuat laporan itu hari ini di ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur.
Turut hadir, Adun Sabai, pahang, D Kamache.
Katanya, tindakan jenayah fitnah itu dijalankan secara sistematik untuk menyekat dirinya daripada menyoal pemimpin-pemimpin MIC mengenai penyalahgunaan dana awam yang diuruskan oleh Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) atau salah urus dana dalam organisasi-organisasi yang berkaitan dengan MIC seperti Maika, Mied, Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan lain-lain.
"Mereka secara bersama atau berasingan telah menghasut seorang ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan ahli-ahli MIC lain untuk melancarkan perbuatan jenayah fitnah ini dengan pengetahuan yang jelas dan dengan motif tunggal untuk mencederakan reputasi saya sebagai pemimpin wanita India dalam barisan pembangkang.
"Saya menggesa polis menyiasat semua pihak yang terlibat di bawah peruntukan Kanun Keseksaan tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya.
Ketika dihubungi, Vigneswaran berkata bahawa laporan polis itu adalah publisiti murahan.
"Dia semakin hilang momentum di dalam parti sendiri. Akar umbi parti sendiri menolak dia dan pernah buat protes ketika dia dilantik sebagai naib presiden.
"Jadi, sekarang dia buat drama (serangan terhadap MIC) untuk mengalihkan perhatian. Kami tidak risau. Dia bukan ancaman kepada parti.
"Sebagai seorang peguam, sekiranya dia percaya dirinya dihasut dan sekiranya ada bukti kemudian dia perlu membuat saman fitnah," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/1bafb12a16bfa639461b51c7d2bdab55.jpg)
