Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan sehingga Khamis ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan pendakwa menggunakan keterangan dari Jepun terhadap Tan Sri Eric Chia dalam perbicaraan pecah amanahnya kerana peguam utamanya Datuk Muhammad Shafee Abdullah menghadiri satu lagi kes di Syria.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan penangguhan itu selepas permohonan bertulis oleh Muhammad Shafee minggu lalu.

Keterangan dari Jepun itu adalah penting bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan aliran wang RM76.4 juta yang didakwa, hingga mengaitkan Chia kepada kesalahan menggelapkan dana Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd pada 19 Februari 1994.

Menurut laporan Bernama, pada 2004, Mahkamah yang sama menolak pemohonan pihak pendakwa agar diterima keterangan lima saksi yang diambil di mahkamah majistret Hong Kong setahun sebelum itu.

Chia, 72, menghadapi tuduhan alternatif mengeluarkan dana syarikat secara tidak jujur dengan mengadakan perjanjian dengan NKK Corporation dan membenarkan RM76.4 juta dibayar ke akaun Frilsham Enterprise Inc dengan the American Express Bank Ltd, Hong Kong, tanpa kelulusan lembaga pengarah Perwaja Rolling Mill and Development.

Pada 9 Februari tahun ini, Timbalan Pendakwaraya Kanan, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhujah bahawa pihak pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa pendakwa raya Jepun telah bertindak di bawah undang-undang negaranya ketika mengambil keterangan itu, dan segala yang lain boleh diterima.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee membantah, menyatakan tidak ada bukti bahawa Jabatan Peguam Negara telah memohon mendapatkan kuasa sewajarnya di Jepun dengan menggariskan prosedur mengambil keterangan.