Barakah Offshore Petroleum Bhd (Barakah) dan anak syarikat milik penuhnya PBJV Group Sdn Bhd (PBJV) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman RM1.02 bilion difailkan mereka terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB).

Barakah menyaman kedua-dua syarikat itu berhubung penggantungan lesen PBJV di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

Berdasarkan notis pemberhentian yang difailkan Barakah dan PBJV selaku perayu menerusi Tetuan Fairuz Ali & Co di Mahkamah Rayuan, dua syarikat berkenaan memberhentikan keseluruhan rayuannya terhadap Petronas dan PCSB selaku responden tanpa perintah terhadap kos.

Peguam Kenny Lam Kian Yip yang mewakili Petronas ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Perayu menarik balik rayuan tersebut kerana tiada merit untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Kedua-dua syarikat berkenaan memfailkan notis rayuan pada 8 April lepas kerana tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman.

Antara alasan rayuan ialah Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf secara fakta dan undang-undang apabila memutuskan bahawa penggantungan lesen melalui surat bertarikh 8 Julai 2019 adalah teratur dan sah.

Selain itu, rayuan itu juga menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf secara fakta dan undang-undang apabila memutuskan bahawa Barakah tidak mempunyai locus standi terhadap Petronas dan PCSB, walaupun bukti telah dikemukakan bahawa PBJV adalah penyumbang utama pendapatan kepada Barakah.

Pada 31 Mac lepas, Hakim Aliza menolak saman itu selepas memutuskan Petronas tidak bertanggungjawab terhadap pemegang lesennya dalam melaksanakan kuasanya untuk menggantung lesen di bawah PDA dan Petronas tidak melanggar sebarang kewajipan dalam menggantung lesen PBJV di bawah PDA.

- Bernama