Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ejen kosmetik diculik ke Thailand berjaya diselamatkan
Diterbitkan:  Sep 29, 2022 3:22 PM
Dikemaskini: 3:22 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seorang wanita yang juga ejen komestik yang diculik dan dibawa lari ke Thailand dalam kejadian pada 13 Sept lalu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata Jabatan Siasatan Jenayah (JS) Bukit Aman telah menubuhkan satu pasukan khas merangkumi siasatan dan operasi bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Menurutnya siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian dan perisikan berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di negara jiran itu.

"Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa Thailand dan telah dibawa pulang ke Malaysia pada hari ini," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sebelum ini media melaporkan dalam kejadian itu mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan sekumpulan lelaki daripada kediamannya di Kampung Semat Jal, Tumpat di Kelantan.

Sementara itu Acryl Sani berkata dalam kes tersebut seramai tujuh lelaki warga tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Katanya, turut dirampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.

"PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan kedutaan Malaysia di sana atas kerjasama dan bantuan dalam usaha dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

"PDRM juga menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara," jelasnya.

Lihat Komen
ADS