Ezam sedia jumpa Azmin bila-bila masa...
Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor berkata, beliau sedia bertemu dengan Naib Presiden, Azmin Ali tetapi tidak mahu membincangkan perkara yang membabitkan politik dan peribadi.
Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor berkata, beliau sedia bertemu dengan Naib Presiden, Azmin Ali tetapi tidak mahu membincangkan perkara yang membabitkan politik dan peribadi.
"Azmin boleh datang ke pejabat saya bila-bila masa untuk berbincang dengan saya tetapi saya tidak mahu bercakap lagi mengenai parti (PKR) atau hal peribadi..
"Fokus saya sekarang ialah mengenai membasmi rasuah melalui Gerak (Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi). Perkara lain saya tidak mahu memperkatakannya lagi.
"Saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam PKR, jadi saya tidak mahu komen mengenainya," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya di Kelana Jaya hari ini.
Ezam berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Azmin bahawa beliau ingin bertemu bekas ketua Angkatan Muda PKR itu bagi menyelesaikan krisis dan salah faham antara mereka berdua.
Tiada masalah
Azmin membuat kenyatan tersebut dalam ucapan penangguhan di mesyuarat PKR bahagian Gombak dekat ibu negara semalam.
Ezam berkata, Azmin sehingga hari ini masih merupakan kawan baik beliau dan untuk itu mereka berdua tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertemu dan berbincang.
"Saya tidak mahu bercakap lagi mengenai parti kerana saya telah membuat kenyataan yang panjang lebar mengenai pendirian saya kepada pucuk pimpinan parti.
"Mereka (pucuk pimpinan) dan ahli faham mengenai perkara tersebut...jadi ia tidak perlu dipanjangkan lagi," katanya.
Ezam menegaskan beliau masih kekal sebagai ahli PKR dan mahu memberi sumbangan melalui Gerak.
Tidak akan masuk Umno
Beliau berkata, sumbangan membanteras rasuah juga merupakan salah satu prinsip utama PKR, iaitu untuk melihat sebuah kerajaan bersih di negara ini.
Dalam sidang media itu, Ezam juga menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak akan menyertai Umno seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.
"Saya melepaskan jawatan dalam PKR bukan kerana mahu menyeberang ke dalam Umno, sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada Gerak," katanya.
Pada 11 Febuari lalu, Ezam melepaskan jawatan sebagai timbalan pengerusi PKR Selangor dan jawatan ketua bahagian Shah Alam atas alasan mahu menumpukan perhatian kepada Gerak.
Ditanya sama ada beliau akan menerima jika ditawarkan menjadi calon PKR dalam pilihanraya umum akan datang, Ezam berkata, ia terpulang kepada parti untuk menentukannya.

