Wakil BN cabar Adun PAS Ktan letak jawatan
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini mencabar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya meletakkan jawatan sebagai tanda kegagalan mereka membangunkan Kelantan.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini mencabar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya meletakkan jawatan sebagai tanda kegagalan mereka membangunkan Kelantan.
Datuk Mohd Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) turut menegur Kerajaan Negeri Kelantan kerana didakwanya gagal mencari sumber kewangan baru untuk negeri itu sejak memerintah pada 1990.
Jika keadaan itu berterusan, dakwanya, sudah tentu Kelantan akan terus mundur dan menyebabkan rakyatnya berada di bawah tekanan.
"Kelantan di bawah PAS kena akui kelemahan mereka dan jika dilihat melalui bajet 2007 hasil untuk negeri sangat rendah," katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan Tambahan Ketiga (2006) Tahun 2007 di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurut laporan Bernama, enakmen itu bagi membolehkan kerajaan negeri mendapatkan tambahan sebanyak RM15 juta lagi bagi tujuan pelaburan.
Mohd Zain mengambil contoh Terengganu yang bajetnya empat kali ganda lebih besar dari bajet Kelantan yang membuktikan kejayaan negeri jiran itu dalam aspek pembangunan.
'Perlu diperbetul'
"Jika bajet Terengganu empat kali lebih besar ini menunjukkan Kelantan empat kali lebih mundur dari Terengganu dan perkara ini perlu diperbetulkan," katanya.
Beliau turut menegur bajet yang diumumkan tahun lalu itu hanya memasukkan sejumlah RM4 juta sahaja bagi tujuan pelaburan tetapi kali ini memohon sehingga RM15 juta bagi tujuan yang sama.
"Ini membuktikan kerajaan Kelantan tidak ada perancangan strategik," katanya.
Mohd Zain kemudiannya meminta kerajaan negeri memberikan pampasan kepada lebih 200 penduduk di Simpang Tiga Repek, Pasir Mas yang rumah mereka dirobohkan baru-baru ini untuk tujuan pembangunan iaitu pembesaran jalan.
Menyifatkan tindakan merobohkan rumah itu sebagai zalim, Mohd Zain berkata tindakan undang-undang mungkin akan diambil terhadap kerajaan negeri untuk membela nasib penduduk itu.
Kenyataan Mohd Zain itu kemudiannya mendapat bantahan Mohd Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) sehingga berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya dengan Mohd Zaki mengeluarkan perkataan "bodoh" terhadap wakil rakyat itu.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dilihat memberi isyarat tangannya kepada Mohd Zain sebagai tanda tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan.

