Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharin tak akan rayu
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 3:55 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Blogger Zaharin Mohd Yasin menyoal jika pemecatannya sebagai ahli Umno yang didakwa diambil atas kapasiti peribadi kerana dia sering mendedahkan ‘kemungkaran’ Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Dia mendakwa bahawa tidak pernah menerima surat tunjuk sebab atau dirujuk ke lembaga disiplin parti mahupun Umno bahagian Bandar Razak mengemukakan aduan rasmi kepada parti.

"Keputusan ini lebih merupakan keputusan tindakan peribadi presiden dan kuncu-kuncu kluster mahkamahya dan dikira sebagai keputusan 'mee segera'.

"Apakah tujuan? Hendak menutup mulut dan mematikan tangan saya dari menulis kemungkaran politik oleh presiden yang menyamun dan merompak dan menerima rasuah jutaan ringgit untuk kepentingan peribadinya?

"Jawabnya tidak. Mulut dan tangan saya tidak akan terhenti kerana tersingkir sebagai ahli Umno.

"Malah menaikan semangat saya terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak BN/ Umno di bawah kepemimpian seorang perompak, penyamun dan pencuri wang rakyat," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Umno membuat keputusan memecat Mohd Zaharin daripada menjadi keahlian Umno berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dimaklumkan Setiusaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara bersetuju memecat Zaharin sebagai ahli parti itu.

“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat MKT memecat Zaharin daripada menjadi ahli Umno berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli Umno di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Dalam pada itu, Zaharin berkata dia tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Umno memecatnya seperti mana sebelum ini.

Untuk rekod, ia merupakan kali ketiga Zaharin dipecat daripada menjadi anggota Umno.

"Begitu juga kali yang ketiga ini. Saya tidak akan merayu sebaliknya saya berterima kasih kepada ahli MKT Umno kerana menyingkirkan saya sebagai ahli Umno. Memberikan saya kemerdekaan menulis dan memberi pandapat.

"Setelah 52 tahun menyokong Umno. Sebagai orang di tanam perkaderan kiri. Saya tahu dan sedar bahawa Umno sebuah parti yang mempertahankan sistem kapitalis (pemodal), parti yang di kuasai oleh elit politik dan bangsawan. Di mana saya mempertahankan sistem itu," katanya.

Lihat Komen
ADS