Bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharim bersedia dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kongres nasional parti itu Mei depan.

Jawatan tersebut menjadi kosong selepas perletakan jawatan Ezam Mohd Noor dan kini dipangku oleh Naib Ketua, Shamsul Iskandar Md Akin.

Badrul Hisham yang lebih mesra dengan panggilan 'Cikgu Bad' berkata, beliau sedia memikul tugas mengetuai angkatan itu jika diperlukan oleh ahli.

Malaysiakini difahamkan, setakat ini, beliau telah mendapat pencalonan daripada PKR bahagian Merbok yang bermesyuarat Jumaat lalu.

Katanya, mesyuarat kesemua 167 bahagian PKR akan selesai pada 31 Mac depan dan oleh itu, tambahnya, beliau masih mempunyai masa untuk membuat keputusan muktamad mengenainya.

Lagi pula kata Badrul Hisham, kesediaannya bertanding jawatan tersebut tidak bermakna beliau mencabar sesaiapa kerana jawatan ketua Angkatan Muda PKR kosong selepas Ezam melepaskan jawatan tersebut akhir tahun lalu.

Agenda utama parti

Ezam meletakkan jawatan tersebut selepas menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang memfokuskan kepada membantu memerangi rasuah di negara ini.

"Pimpinan Angkatan Muda yang ada sekarang tidak gagal menjalankan tugas tetapi masih banyak ruang yang perlu diisi, terutama bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Saya percaya jika Angkatan Muda mempunyai sebuah pasukan yang baik, PKR akan menjadi lebih kuat daripada tahun 1999," katanya.

Badrul Hisham berkata, sebuah pasukan yang baik memerlukan pemimpin yang mengambil berat mengenai ahli-ahlinya dan bersedia mengambil tindakan politik untuk parti dan rakyat.

"Pemimpin Angkatan Muda mesti tahu bahawa agenda utama parti dalam pilihanraya umum akan datang ialah untuk mengambilalih pemerintahan dari Barisan Nasional (BN).

"Ia berbeza dengan pilihanraya umum 1999 iaitu untuk membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan supaya Tun Dr Mahahir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya, pertandingan jawatan-jawatan utama dalam parti, termasuk di peringkat Angkatan Muda tidak akan memecahbelahkan atau melemahkan parti.

Namun, katanya, sebarang pertandingan, terutama bagi jawatan utama parti, perlu mengutamakan adab dan sopan santun supaya ia tidak menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin yang bertanding," katanya.