Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan kabinetnya adalah dengan keputusan beliau sendiri, tanpa memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, demikian Mahkamah Rayuan di Putrajaya diberitahu hari ini.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata pemecatan anak guamannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, adalah salah dari segi undang-undang kerana penamatan jawatan itu melanggari Artikel 43 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah pihak berkuasa yang sah dalam segi undang-undang untuk memecat beliau, setelah dinasihati Perdana Menteri.

Tiga orang hakim Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Heliliah Yusof bersidang mendengar rayuan itu yang dikemukakan Anwar, 59, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sembilan tahun lalu, yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan satu perintah mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecatnya adalah tidak sah dan batal.

Menurut laporan Bernama, Karpal Singh berhujah, Mahkamah Tinggi adalah salah untuk menolak saman permulaan terus Anwar kerana terdapat isu penting yang perlu ditentukan mahkamah itu disebabkan adanya percanggahan dalam surat penamatan jawatan afidavit bersumpah oleh setiausaha sulit Yang di-Pertuan Agong, sama ada Yang di-Pertuan Agong dinasihati sebelum Anwar dipecat seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Beliau berkata, surat penamatan itu tidak menunjukkan bahawa Dr Mahathir telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Karpal Singh, yang berkerusi roda ketika menyampaikan hujahnya, mahu Mahkamah Rayuan memutuskan merit kes itu dan bukan membuat satu perintah untuk meremit perkara tersebut balik ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan. Beliau juga memohon pembayaran pampasan.

Tuntut pampasan

Dalam permohonan untuk pengisytiharan, Anwar meminta untuk diambil semula sebagai menteri kabinet tetapi memandangkan keadaan sekarang, maka Anwar kini mahu diberikan pampasan.

Peguam Kanan Persekutuan Asmabi Mohamad pula berkata, Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati dan dimaklumkan mengenai perkara itu yang ditunjukkan dalam dua afidavit bersumpah oleh Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong, Jaapar Wahab dan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Katanya, dua afidavit itu adalah mencukupi untuk membuktikan bahawa Dr Mahathir telah menasihati Yang di-Pertuan Agong sebelum beliau memecat Anwar, yang mematuhi keperluan Artikel 43 (5).

Selepas pemecatan itu, Anwar dituduh dan didapati bersalah kerana rasuah dan liwat. Beliau dihukum penjara sembilan tahun kerana liwat dan enam tahun disebabkan amalan rasuah.

Mengenai rayuan, Mahkamah Persekutuan pada 3 September 2004 membebaskan Anwar setelah mengetepikan tempoh hukuman dan penjara beliau kerana tuduhan liwat.

Permohonan beliau untuk mengkaji semula hukuman dan tempoh dipenjara kerana kesalahan rasuah bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 September 2004.

Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusannya dalam rayuan itu ke tarikh lain yang akan ditetapkan disebabkan mereka memerlukan masa untuk mengkaji semula hujah tersebut.