Bekas pegawai dakwa Ketua Pengarah BPR korup...
Beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual telah dibuat terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, oleh salah seorang bekas pegawai BPR.
Beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual telah dibuat terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, oleh salah seorang bekas pegawai BPR.
Dakwaan tersebut dibuat dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.
'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu didedahkan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya hari ini.
Dalam laporan itu, Ramli merujuk kepada Zulkifli sebagai B1. Zulkipli menjadi Ketua Polis Johor sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR enam tahun lalu, dan merupakan pegawai polis pertama dilantik memegang jawatan tersebut.
Ramli mendakwa, pada 1997, ketika Zulkipli menjadi Ketua Polis Johor, BPR mendapat tahu beliau memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'. Dia juga didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah.
Jenayah seksual
Selain itu, Ramli juga mendakwa, polis telah menyiasat Zulkipli berhubung satu jenayah seksual berikutan laporan yang dibuat oleh seorang surirumah di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Surirumah tersebut, katanya, juga membuat tiga lagi laporan di balai polis Mambau di Negeri Sembilan, Segambut dan Dang Wangi di Kuala Lumpur atas dakwaan yang membabitkan kekerasan jenayah kerana membuat laporan awal tersebut.
Ramli juga mendakwa, terdapat bukti yang menunjukkan Zulkipli telah mencampuri siasatan polis di mana saksi telah diancam supaya tidak bekerjasama dalam siasatan polis.
Ramli juga mendakwa, Ketua Pengarah BPR itu memilik banyak harta dan kepentingan perniagaan termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor.
Menurutnya, pihak BPR mendapatkan tahu yang pihak polis telah menyiasat Zulkipli kerana didakwa menggunakan kenderaan kerajaan untuk melihat harta dan kepentingan perniagaan terbabit.
Menurut laporan itu lagi, dakwaan tersebut sudah diketahui oleh kalangan polis dan beberapa pegawai polis juga telah memberi bukti mengenai aktiviti rasuah Zulkipli kepada Suruhanjaya Diraja Polis, dua tahun lalu.
"Sebagai seorang pegawai kanan BPR, saya telah dengan tegas menyatakan bahawa kehadiran berterusan B1 dalam perkhidmatan awam, khususnya di BPR, yang tugas utamanya untuk membasmikan rasuah, adalah satu ancaman keselamatan kepada negara," tambahnya.
Ramli menyuarakan harapannya agar pihak polis akan menjalankan siasatan rapi terhadap dakwaan tersebut.
Dalam perenggan akhir laporannya itu, Ramli berkata, beliau telah secara rasmi memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan mengenai dakwaan tersebut sejak 2003. Bagaimanapun, ianya tidak diperdulikan.
"Saya ingin menegaskan bahawa ini merupakan tugas terakhir saya kepada negara kerana saya akan bersara wajib. BPR, sebagai sebuah institusi awam yang penting, perlu disokong oleh semua pihak dan memastikan ia menjalankan tugasnya kepada negara sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara," kata Ramli yang bersara selepas beliau memfailkan laporan tersebut.
Laporan maklumat awal itu turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Perkhidmatan disambung
Ketika dihubungi malaysiakini petang ini, Ramli mengesahkan yang beliau menulis laporan tersebut.
Ditanya mengenai kesahihan dakwaan tersebut, Ramli, 56, yang kini tinggal di Negeri Sembilan berkata pihak polis patut menyiasatnya.
Dalam sidang akhbarnya hari ini, Ezam berkata salinan laporan tersebut telah dihantar melalui kiriman pos oleh individu yang tidak dikenali ke pejabat Gerak beberapa minggu yang lalu.
Katanya, walaupun pertubuhannya itu tidak bertemu dengan Ramli, tetapi Gerak telah dapat mengesahkan ketulenan laporan tersebut melalui sumber-sumbernya.
Menurut Ezam, pihaknya juga telah menghantar laporan tersebut kepada Perdana Menteri secara tangan ke pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Mengenai dakwaan tersebut, Ezam mempersoalkan mengapa Perdana Menteri telah menyambung perkhidmatan Zulkifli pada 2005.
Katanya, terdapat sebab-sebab yang mencukupi untuk mencurigai mengapa kontrak (perkhidmatannya) di sambung sedangkan dakwaan tersebut timbul beberapa tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis supaya menyiasat segera dakwaan tersebut, manakala Zulkipli yang dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR pada 2001, hendaklah digantung perkhidmatannya sehingga siasatan selesai dijalankan.
Zulkipli tidak dapat dihubungi untuk mendapat komennya. Berita asal

