Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Agong di Singapura, Istana nafi PM minta bubar Parlimen
Diterbitkan:  Oct 3, 2022 4:15 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih berada di luar negara dan tidak ada sebarang pertemuan yang dijadualkan untuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menghadap baginda.

“(Ia) berita palsu. Tuanku masih di Singapura,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin yang dipetik oleh portal FMT.

Semalam, bekas setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diperkenankan untuk menghadap hari ini.

Spekulasi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir bertambah hangat dengan laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian yang mendakwa Ismail Sabri dijangka mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya, hari ini.

Ismail Sabri kini di bawah tekanan oleh partinya sendiri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 - tindakan yang berpotensi menjadikannya sebagai perdana menteri paling singkat.

Ketika ini, Dewan Rakyat sedang bersidang dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dijadual membentangkan bajet untuk tahun depan pada Jumaat.

Semalam, Ismail Sabri menghadiri taklimat pra-mesyuarat bersama ahli parlimen kerajaan - satu langkah yang tidak konsisten dengan pembubaran Parlimen.

Lihat Komen
ADS