Pemberhentian program Sensasi: TV3 akan merayu
Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) menerima keputusan supaya menghentikan serta-merta program 'Sensasi' dengan hati terbuka dan faham bahawa rancangan itu yang disiarkan pada 30 Januari lalu telah menyinggung perasaan masyarakat Islam negara ini.
Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) menerima keputusan supaya menghentikan serta-merta program 'Sensasi' dengan hati terbuka dan faham bahawa rancangan itu yang disiarkan pada 30 Januari lalu telah menyinggung perasaan masyarakat Islam negara ini.
Keputusan tersebut dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan Radio Awam dan Swasta.
"Kami kesal dengan apa yang berlaku," kata Pengurus Komunikasi Korporat TV3, Ratnawati Jamil dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, TV3 akan merayu kepada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) agar membenarkan rancangan itu ke udara semula dalam tempoh terdekat," katanya.
Menurut laporan Bernama, sebelum ini, TV3 telah diarahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menghentikan program`Sensasi' yang disiarkan secara langsung setiap hari Selasa, berikutan siaran rancangan sejam itu, pada 30 Januari lalu, tidak mematuhi syarat ditetapkan.
Rancangan `Sensasi' pada tarikh itu mencetuskan kontroversi apabila tetamunya, aktres Rosnah Mat Aris, telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh secara sensitif usia isteri Rasullullah.
Rosnah, 52, mengeluarkan kenyataan itu ketika ditanya oleh pengacara program berkenaan Awaluddin Shaari mengenai kecenderungannya bercinta dengan lelaki muda yang tidak sepadan dengan usianya.
Ratnawati berkata, TV3 akur dengan keputusan untuk tidak menyiarkan rancangan itu sama ada secara langsung atau rakaman selepas tercetusnya kontroversi tersebut.
Beliau bagaimanapun berharap pemberhentian rancangan itu bersifat sementara.
Sekiranya mendapat kebenaran disiarkan semula, beliau berkata, pihaknya akan memastikan untuk mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu yang dibincangkan.

