AMK gerak kempen sediakan kit bantuan banjir
Menganggap desakan Umno yang mahukan pilihan raya umum (PRU) diadakan segera sebagai menyusahkan rakyat, Pemuda PKR (AMK) bahkan sebaliknya mengambil pendekatan berbeza.
Mengumumkan rancangan terbarunya Ketua AMK Malaysia, Adam Adli Abdul Halim, berkata mereka akan menggerakkan kempen pendanaan awam bagi menyediakan kit banjir kepada orang ramai yang terjejas.
Antara barangan yang akan disediakan bersama kit tersebut, katanya, ialah jaket keselamatan, wisel, lampu suluh, beg kalis air dan keperluan lain yang dirasakan sesuai.
"Untuk peringkat awal, AMK Malaysia menyasarkan untuk menyediakan 1,000 kit banjir sebagai salah satu inisiatif menghadapi bencana alam berkenaan," katanya hari ini.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memberi bayangan bahawa dia akan memulakan langkah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan parlimen bagi memberi jalan kepada PRU ke-15.
Pada masa sama pelbagai pihak - sama ada pembangkang atau sebahagian daripada parti dalam kerajaan - menganggap keutamaan perlu diberikan kepada langkah menghadapi kemungkinan banjir besar atau bencana alam yang diramal berlaku hujung tahun ini.
Adam Adli berkata keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno yang berkeras mahu PRU diadakan segera menunjukkan parti itu mahu menyusahkan setiap rakyat Malaysia.
Katanya rakyat akan diasak dengan keperluan PRU ketika mereka terpaksa bergelut dengan kelangsungan nyawa dan harta benda akibat banjir.
Menurut Adam Adli, jika parlimen dibubarkan pada tahun ini, sumber bagi membantu rakyat yang terkesan tidak dapat digunakan secara maksimum kerana ia terpaksa diagihkan bagi menghadapi PRU.
"Keghairahan Umno mengasak semua pihak supaya PRU diadakan segera menunjukkan mereka kehilangan pertimbangan terhadap nyawa dan harta rakyat," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/dd53b8f598ceb22b5f594a30a08c0e28.jpg)
