Selepas bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor, Naib Presiden PKR, Azmin Ali turut menyokong Datuk S Nallakarupan bertanding jawatan naib presiden.

"Datuk Nalla sudah terbukti membawa masuk ramai masyarakat India ke dalam PKR walaupun baru beberapa bulan menjadi ahli parti.

"Saya perlukan sokongan masyarakat India di Batu Caves untuk membolehkan PKR menang dalam Parlimen Gombak," kata Azmin.

Beliau yang juga ketua PKR bahagian Gombak berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat agung bahagian tersebut di Anjung Rahmat dekat ibu negara, Ahad lalu.

Minggu lalu, Ezam menyatakan beliau akan mengundi Nalla bagi jawatan naib presiden jika beliau menjadi perwakilan dalam kongres nasional parti itu di Seremban, Mei depan.

Pada 11 Februari lalu, Ezam melepaskan semua jawatan dalam PKR Timbalan Pengerusi Perhubungan Selangor dan Ketua Bahagian Shah Alam dan kini perlu bertanding di peringkat bahagian untuk menjadi perwakilan dalam kongres nasional itu kelak.

Namun begitu, Azmin yang juga pengarah pilihanraya PKR berkata, beliau juga menghargai tinggi sumbangan naib-naib presiden yang lain, khususnya S Sivarasa kepada parti tersebut.

Sokongan akar umbi

"Sivarasa sangat komited dalam memperjuangan isu masyarakat terutama yang membabitkan masalah setinggan sejak sekian lama," katanya.

Azmin berkata, kedua-dua pemimpin masyarakat India dalam PKR itu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menyumbang kepada kekuatan parti.

Sivarasa, katanya, mempunyai sokongan di kalangan profesional, manakala Nalla berupaya menarik golongan akar umbi, khususnya masyarakat India.

Menurut Azmin, pada prinsipnya beliau menyokong semua pemimpin parti yang bekerja kuat dan bukan khusus kepada orang tertentu sahaja.

Minggu lalu, Nalla mengumumkan sedia bertanding jawatan naib presiden PKR dalam kongres nasional parti itu.

Beliau menyuarakan hasratnya itu dalam satu perjumpaan dengan kira-kira 100 ahli PKR keturunan India di ibu negara baru-baru ini.

Selain Nalla, dua menyandang jawatan tersebut Sivarasa dan Mustaffa Kamil Ayub turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan dalam kongres nanti.

Tiga lagi naib presiden PKR ialah Dr Lee Boon Chye, Azmin dan Saidatul Badru Tun Said Keruak.