Amerika Syarikat tidak akan menentang jika Malaysia melaksanakan program tenaga nuklear untuk tujuan keamanan, kata Duta Besarnya ke Malaysia Christopher J LaFleur.

Beliau berkata, garispanduan antarabangsa jelas mengenai program itu.

"Banyak negara lain membangunkannya...Malaysia mahu melaksanakannya... boleh, kami tiada halangan," katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas ulasan awalnya pada sesi soal jawab wacana intelektual mengenai program nuklear Iran dan sama ada Malaysia akan berhadapan sebarang bantahan jika ia meneruskan program tenaga nuklear itu.

Sebelum itu, LaFleur menyampaikan ucapan mengenai "AS dan Malaysia pada 2007", anjuran Fakulti Ekologi Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia, di Serdang hari ini.

Tenaga nuklear, kata LaFleur, sangat penting untuk negara-negara yang tidak mempunyai sumber tenaganya sendiri.

Ada prosedur

"Jika Malaysia mahu membangunkan bidang itu, kami tidak mempunyai masalah," katanya.

Ditanya sama ada Amerika Syarikat akan membantu Malaysia jika ia mahu meneruskan program tenaga nuklear, duta besar itu berkata Amerika Syarikat mempunyai prosedur dalam memberi bantuan atau kerjasama.

"Saya rasa jika institusi penyelidikan Malaysia mahu bekerjsama dalam penyelidikan tenaga nuklear... saya pasti terdapat institusi di Amerika gembira untuk bekerja bersama-sama mereka," katanya.

Menjawab soalan lain sama ada terdapat rancangan untuk Presiden Amerika Syarikat George W.Bush melawat Malaysia, beliau berkata tidak ada rancangan setakat ini.

"Pada masa ini kami belum ada rancangan khusus," katanya.