Pemangku Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Md Akin bimbang, jika ahli terlalu ghairah dengan pemilihan jawatan dalam parti, ia boleh menghilangkan fokus utama perjuangan PKR untuk memenangi pilihanraya umum akan datang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli AMK mengenai bertanggungjawab mereka untuk memastikan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak bertanding dalam pilihanraya umum kelak.

Katanya, jika para ahli terlalu ghairah dengan soal pemilihan jawatan, ia boleh menjejaskan kesediaan mereka untuk menghadapi pilihanraya umum kali ini.

Sehingga ini, katanya, keadaan masih terkawal tetapi jika ahli-ahli tidak diingatkan tentang fokus utama perjuangan parti itu, ia boleh menjejaskan kekuatan dan hubungan sesama mereka.

Mengenai pemilihan kali ini, Shamsul Iskandar mengesahkan beliau akan bertanding jawatan ketua AMK yang dipangkunya sejak Ezam Mohd Noor melepaskan jawatan tersebut November lalu.

Ditanya mengenai pencalonan yang diterima bekas Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharin untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu, beliau berkata, pemilihan jawatan utama parti terbuka kepada semua ahli.

Amal demokrasi sepenuhnya

"Semua ahli boleh bertanding apa jua jawatan yang mereka mahu kerana PKR mengamalkan demokrasi sepenuhnya.

"Badrul Hisham Shaharin boleh bertanding jawatan ketua Angkatan Muda PKR dalam kongres nasional di Seremban Mei ini," katanya sambil menegaskan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan ketua Angkatan Muda PKR..

Sebanyak 167 bahagian PKR di seluruh negara sedang mengadakan mesyuarat masing-masing yang dijadualkan berakhir pada 31 Mac ini.

Sementara itu, seorang Exco Angkatan Muda PKR, Feriz Musa menawarkan diri untuk dicalonkan bagi jawatan timbalan ketua Angkatan Muda.

Beliau juga menyokong Badrul Hisham bertanding jawatan ketua Angkatan Muda dalam Kongres Nasional Mei ini.

"Badrul Hisham sudah mempunyai banyak pengalaman dalam Angkatan Muda termasuk beberapa kali ditahan polis kerana berjuang untuk parti," katanya.

Feris berkata, Angkatan Muda PKR perlu dipimpin oleh orang muda yang dapat menghayati perjuangan sebenar dan bukannya terikut-ikut dengan cara orang lain.