Zulkipli dipanggil jawatankuasa Parlimen
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor telah dipanggil untuk menemui Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Integriti, kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor telah dipanggil untuk menemui Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai Integriti, kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang.
Katanya, jawatankuasa tersebut akan mendengar penjelasan Zulkipli dalam mesyuaratnya yang akan datang dua minggu lagi.
Lim adalah salah seorang anggota jawatankuasa terpilih tersebut. Zulkipli pula tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya, walaupun beberapa kali menghubungi pejabatnya.
Jawatankuasa tersebut yang dianggota ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok. Ia membolehkan ahli Parlimen, antara lain, menyiasat kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual telah dibuat terhadap Zulkipli oleh salah seorang bekas pegawai BPR.
Dakwaan tersebut terkandung dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.
'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu
didedahkan
oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya semalam.
Ramli mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'. Dia juga didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah.
Selain itu, Ramli juga mendakwa, polis telah menyiasat Zulkipli berhubung satu jenayah seksual berikutan laporan yang dibuat oleh seorang surirumah di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Ramli, dakwaan tersebut sudah diketahui oleh kalangan polis dan beberapa pegawai polis juga telah memberi bukti mengenai aktiviti rasuah Zulkipli kepada Suruhanjaya Diraja Polis, dua tahun lalu.
Ramli mengesahkan menulis laporan tersebut ketika dihubungi malaysiakini semalam.
'Tidak ingat'
Bagaimanapun, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mengetuai pasukan yang menyediakan laporan mengenai rasuah untuk suruhanjaya berkenaan, berkata beliau tidak ingat tuduhan serius tersebut pernah dibangkitkan.
"Saya tidak ingat. Ia sudah lama (sejak suruhanjaya menjalankan tugasnya) tetapi pastinya ia satu perkembangan yang amat menarik," kata bekas Presiden Transparency International (TI).
Dua lagi anggota suruhanjaya tersebut Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita, Ivy Josiah dan Pesuruhjaya Suhakam, Dr Denison Jayasooria juga berkata, mereka tidak ingat maklumat seumpama itu pernah dibawa ke pengetahuan mereka.
Malaysiakini menghubungi Bukit Aman untuk mengetahui status laporan yang bertarikh 4 Julai 2006 itu, tidak dapat mendapat maklumat mengenainya.
Seorang pegawai memberitahu, hanya orang yang membuat laporan tersebut sahaja yang boleh menyemak statusnya.
Selain itu, katanya, semakan tersebut perlu dibuat di balai polis tempat laporan berkenaan dibuat.
Bagaimanapun, seorang pegawai polis menghubungi malaysiakini kemudiannya untuk mendapatkan salinan laporan berita mengenai perkara itu.
Zulkipli berkhidmat dengan cawangan khas selama dua dekad. Pada 1996, beliau menjadi Ketua Polis Johor sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2000.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR enam tahun lalu, dan merupakan pegawai polis pertama dilantik memegang jawatan tersebut. Berita asal

