Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meninjau persiapan penyediaan belanjawan tahun depan di Kementerian Kewangan.

Lawatan itu dibuat di tengah-tengah spekulasi rang undang-undang perbekalan 2023 tidak akan dibentangkan esok susulan kemungkinan parlimen dibubarkan lebih awal.

Media melaporkan Ismail tiba di pekarangan kompleks kementerian di Putrajaya pada jam 12 tengah hari, disambut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir dua timbalannya, Mohd Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa. 

Ismail kemudian beramah mesra dengan kakitangan kementerian yang terlibat menyediakan Belanjawan 2023 dan meninjau bilik operasi penyediaannya.

Bajet 2023 dijadual dibentangkan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat pada jam empat petang esok.

Ismail setakat ini belum memberikan sebarang kepastian tentang tarikh dia akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan parlimen, ketika desakan kuat daripada Umno.

Spekulasi menyebut parlimen mungkin dibubarkan seawal hari ini, menyebabkan petugas media mula berkampung di depan Istana Negara di ibu kota.