Keputusan di tangan PM, bukan Ketua Hakim Negara, kata Rais
Keputusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi, dan bukannya Ketua Hakim Negara, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Keputusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi, dan bukannya Ketua Hakim Negara, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman itu pernah dikemukakan Rais ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menerima sokongan Majlis Peguam pada 2000.
"Memandangkan Perdana Menteri sudah memberikan kenyataan positif mengenainya, biarlah beliau yang membuat keputusan setelah menerima input daripada pelbagai pihak berkaitan.
"Keputusan (penubuhan suruhanjaya itu) bukan terletak pada Ketua Hakim Negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa mengenai Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 di ibunegara semalam.
Menurut laporan Bernama, Rais diminta mengulas kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bahawa beliau belum menerima sebarang memorandum mengenai cadangan tersebut.
Petanda baik
"Kesediaan kerajaan untuk mengkaji keperluan penubuhan suruhanjaya itu adalah satu petanda baik dan perbincangan lanjut mengenainya wajar dibuat dengan pelbagai pihak termasuk Ketua Hakim Negara dan Majlis Peguam.
Pelbagai pihak berpendapat suruhanjaya itu, jika ditubuhkan, dapat mempastikan pelantikan para hakim secara lebih telus dan adil.
"Cadangan itu saya kemukakan sebelum saya menyandang jawatan sekarang dan kini ia bukan di bawah bidang kuasa saya, namun adalah sesuatu yang baik jika ia dapat diwujudkan," kata Rais.
Beliau berkata isu suruhanjaya itu mencontohi model suruhanjaya negara lain tidak perlu dipersoalkan.

