J/kuasa khas Parlimen tetapkan 12 Mac panggil Zulkipli dan Ramli beri penjelasan
Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Integriti menetapkan 12 Mac ini untuk mendengar penjelasan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor berhubung dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual yang dibuat terhadapnya oleh seorang bekas pegawai BPR.
Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Integriti menetapkan 12 Mac ini untuk mendengar penjelasan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor berhubung dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual yang dibuat terhadapnya oleh seorang bekas pegawai BPR.
Dakwaan tersebut terkandung dalam satu
laporan
yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai kanan BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.
Menurut Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Jawatankuasa berkenaan juga memanggil Ramli untuk memberi penjelasan berhubung dakwaannya terhadap ketua pengarah BPR itu.
Jawatankuasa itu yang dianggota ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu, dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok. Ia membolehkan ahli Parlimen, antara lain, menyiasat kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam reaksinya hari ini, akhbar New Straits Times melaporkan Zulkipli sebagai berkata, biarlah undang-undang menentu berhubung dakwaan terhadapnya itu.
'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu yang mengetuai BPR Sabah pada 2002 itu, didedahkan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya kelmarin.
Ramli mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'. Dia juga didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah.
Semakan latarbelakang
Selain itu, Ramli juga mendakwa, polis telah menyiasat Zulkipli berhubung satu jenayah seksual berikutan laporan yang dibuat oleh seorang surirumah di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Ramli, dakwaan tersebut sudah diketahui oleh kalangan polis dan beberapa pegawai polis juga telah memberi bukti mengenai aktiviti rasuah Zulkipli kepada Suruhanjaya Diraja Polis, dua tahun lalu
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut, New Straits Times memetik Zulkipli sebagai berkata, tuduhan itu sebahagian cabaran yang terpaksa dihadapinya.
"Ada yang suka dan yang lainnya mungkin tidak. Apa yang penting keadilan mesti dicari," katanya dalam laporan dalam akhbar tersebut.
Bagaimanapun, Lim berkata, yang menjadi tumpuan rakyat yang serius terhadap ikrar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memberi keutamaan kepada usaha memerangi rasuah, ialah sama ada Zulkipli terus menerajui BPR ekoran dakwaan yang serius terhadapnya.
"Ini adalah salah satu sebab mengapa Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Integriti semalam menetapkan 12 Mac ini untuk mendengar penjelasan daripada Zulkifli dan Ramli bagi menangani isu sama ada sesuai bagi Zulkipli untuk terus menerajui BPR," katanya.
Menurut Lim, Zulkipli juga dilaporkan berkata, dakwaan Ramli itu 'tidak berasas' kerana sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR, beliau sudah diselidik dan didapati bersih oleh pihak polis dan BPR.
Kenyataaan itu, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan proses semakan latarbelakang oleh pihak polis dan BPR, yang bukan sahaja dibuat terhadap pegawai tinggi kerajaan, tetapi juga terhadap para menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, ketua menteri, menteri besar dan para exco kerajaan negeri.

