Pihak polis digesa membuka semula fail siasatan terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah dan jenayah seksual yang dibuat oleh seorang bekas pegawai kanan agensi tersebut.

Ketika membuat gesaan tersebut, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mahu supaya hasil siasatan tersebut diumumkan kepada awam.

Ketua Biro Anti Rasuah pergerakan tersebut, Feriz Musa juga menyifatkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa beliau telah meminta fail mengenai dakwaan terhadap Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, sebagai tidak memadai.

Katanya, jika fail sudah ada sejak 10 tahun lalu, mustahil Musa tidak mengetahui tentang dakwaan terhadap Zulkipli itu.

"Biar rakyat tahu perkara sebenar dan bukannya melalui kenyataan di dalam media sahaja," katanya ketika mengulas dakwaan tersebut oleh bekas pegawai kanan BPR, Mohamad Ramli Manan dalam laporannya kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.

PM perlu bertanggungjawab

'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu yang mengetuai BPR Sabah pada 2002 itu, didedahkan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya kelmarin.

Ramli mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'. Dia juga didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah.

Selain itu, Ramli juga mendakwa, polis telah menyiasat Zulkipli berhubung satu jenayah seksual berikutan laporan yang dibuat oleh seorang surirumah di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurut Ramli, dakwaan tersebut sudah diketahui oleh kalangan polis dan beberapa pegawai polis juga telah memberi bukti mengenai aktiviti rasuah Zulkipli kepada Suruhanjaya Diraja Polis, dua tahun lalu

Sementara itu, Feriz berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap dakwaan terhadap ketua pengarah agensi BPR kerana Perdana Menteri bertanggungjawab secara langsung ke atas agensi tersebut.