Isu bubar parlimen bayangi pembentangan Bajet 2023
Bajet 2023 selesai dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, namun persoalan yang masih bermain di fikiran ramai orang bilakah parlimen akan dibubarkan.
Ini selepas seminggu spekulasi bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memohon pembubaran parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat.
Di Twitter, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata pada akhir pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz hari ini, ramai ahli parlimen melaungkan "Bubar".
Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan juga berkata yang dia ditanya oleh sesetengah pihak bilakah parlimen akan dibubarkan sebelum meninggalkan Dewan Rakyat.
“Mengabadikan gambar di #Parlimen bersama wartawan & jurugambar. Bukan selalu berbaju #Melayu ke #DewanRakyat.
“Ada yang tanya, bila bubar?” katanya di Twitter.
Perdana menteri semalam diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas baginda melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara.
Malaysiakini kemudian melaporkan tarikh pembubaran parlimen tidak dibincangkan ketika majlis menghadap itu.
Dua belas menteri daripada Perikatan Nasional (PN) telah menulis surat kepada Seri Paduka baginda untuk menzahirkan rasa tidak bersetuju parlimen dibubarkan kerana tumpuan kini sepatutnya diberikan terhadap rakyat.
Malaysiakini juga melaporkan bahawa Agong bimbang PRU diadakan setelah menerima maklumat ketika sesi taklimat mengenai banjir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/973f9b3dd1eb0b643cfea2a33eac402c.jpg)
