Ezam tolak rayuan PKR Sgor tarik balik perletakan jawatan
Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menolak perletakan jawatan Ezam Mohd Noor sebagai timbalan pengerusi PKR negeri itu.
Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menolak perletakan jawatan Ezam Mohd Noor sebagai timbalan pengerusi PKR negeri itu.
Sebaliknya, PKR Selangor merayu kepada Ezam supaya mempertimbangkan semula tindakan beliau untuk meletakkan jawatan tersebut.
Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat khas badan perhubungan negeri pada pada 27 Februari lalu.
"Sehubungan itu, saya telah mengirim surat kepada beliau untuk menyampaikan keputusan tersebut kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ezam telah mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam PKR dan menghantar surat mengenainya kepada Khalid.
Dalam surat bertarikh 11 Februari itu, Ezam, antara lain berkata, beliau membuat keputusan itu untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang ditubuhkannya tahun lalu.
Sementara itu, Ezam ketika dihubungi berkata, beliau keputusanya meletakkan jawatan adalah muktamad dan tidak akan menariknya balik.
Untuk kepentingan parti
Katanya, beliau baru menerima surat tersebut dan akan menjawab secepat mungkin, menolak rayuan badan perhubungan PKR Selangor tersebut.
"Saya akan tetap menyokong PKR, khususnya di Selangor, terutama dalam gerakan reformasi, khususnya membanteras rasuah.
"Saya mengambil keputusan ini adalah untuk kepentingan perjuangan parti dan bukannya kerana untuk kepentingan diri saya sendiri," katanya.
Ezam berkata, beliau amat menghargai saranan rakan-rakan, khususnya Khalid selaku pengerusi PKR Selangor, yang mahukan beliau menarik balik perletakannya itu.
Sementara itu, mesyuarat yang sama juga telah memutuskan untuk melantik Faekah Hussin sebagai setiausaha bersama badan perhubungan PKR Selangor dan Yaakob Sapari sebagai ahli bilik gerakan pilihanraya PKR Selangor.
Kedua-dua langkah itu, kata Khalid, adalah bertujuan untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan organisasi PKR Selangor.

