Pengguna Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart) dari Sungai Besi ke Kuala Lumpur, akan dikenakan bayaran tol RM2 apabila ia dibuka bulan depan dan RM7 pada tahun 2030, demikian menurut butiran dalam perjanjian konsesinya.

Tetapi tidak jelas sama ada kerajaan akan menetapkan kadar tol pada jumlah sepenuhya, iaitu RM2, apabila laluan terowong tersebut dibuka kepada lalulintas.

Kadar tersebut, yang ditetapkan dalam perjanjian yang ditandatangani pada bulan Jun 2004, didedahkan oleh Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Dua muka surat daripada dokumen tersebut diedarkan kepada wartawan, yang menunjukkan kadar tol yang dikenakan itu, akan dinaikkan setiap lima tahun.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Latheefa Koya, ketika menjawab soalan, berkata tidak diketahui sama ada satu kadar tol akan dikenakan bagi semua kategori kenderaan dan sama ada kerajaan akan mensubsidi sebahagian daripada bayaran tol tersebut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu dilaporkan oleh Bernama pada 11 Februari lalu sebagai berkata, kabinet akan menentukan kadar tol itu tidak lama lagi.

"Ini adalah kadar yang ditunjukkan, mungkin esok Samy akan kata ianya RM1, (sebagai) diskaun pilihanraya. Tetapi, walaupun jika kadarnya RM1, wang itu masih disubsidi oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat (dan dibayar) kepada syarikat swasta (konsensi)," kata Latheefa.

"Ini bermakna syarikat swasta tersebut tidak akan rugi apa-apa...," katanya.

Soalan untuk kerajaan

Menurut perjanjian konsesi selama 40 tahun antara Syarikat Mengurus Air Banjir dan Pengurusan Sdn Bhd dengan kerajaan, syarikat itu dijangka menjana pendapatan RM36.4 juta daripada kutipan tol pada tahun pertama dan naik kepada RM79 juta pada tahun kelima.

Angka tersebut adalah berdasarkan kepada unjuran 'sederhana' sebanyak 24 juta kenderaan setahun bagi tempoh lima tahun pertama. Ini pula berdasarkan kepada jumlah lalulintas paling rendah di lebuhraya menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Bagaimanapun, Pemuda PKR berkata unjuran jumlah lalulintas itu kekal dari tahun 2022 hingga 2042 pada kadar 40.2 juta kenderaan setahun.

"(Jika) jumlah lalulintas itu tidak berubah bagi tempoh 20 tahun ini, maka kadar tol juga sepatutnya kekal," kata Latheefa sambil menggesa kerajaan supaya memperjelaskan mengapa kenaikan dalaman ini diadakan.

Pemangku Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar mencelah: "Anda juga boleh melihat dari jadual tersebut bahawa pada tahun 2023 kerajaan akan memperolehi semula kos (pembinaan). Kita tidak nampak mengapa pada 2025, mereka menaikkan kadar tol kepada RM6."

Menurut dokumen tersebut lagi, syarikat konsesi akan memperolehi RM7.2 bilion perolehan terkumpul daripada kutipan tol pada 2042, sedangkan projek tersebut dibina dengan kos RM1.9 bilion.

Status tidak diketahui

Menjawab satu soalan, Latheefa berkata, beliau tidak dapat menentukan sama ada dokumen yang ada pada mereka itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Tiada apa-apa petanda pada dokumen itu yang menunjukkan ia adalah dokumen OSA dan kami percaya ia tidak boleh diklasifikasikan sedemikian kerana ia adalah dokumen berkepentingan awam. Penggunaan OSA harus dihadkan kepada rahsia ketenteraan dan perkara-perkara (berkaitan keselamatan negara)," tambahnya.

Shamsul pula berkata, cara dokumen berkepentingan awam dikendalikan jelas menunjukkan perlunya digubal undang-undang Kebebasan Maklumat.

Empat pemimpin pembangkang sedang disiasat kerana didakwa mendedahkan kandungan dokumen 'rahsia' mengenai perjanjian konsesi lebuhraya.

Pembinaan projek Smart itu dimulakan pada 2003, dengan tujuan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas dan mengalir keluar ia banjir ke dua kolam takungan.

Strukturnya terdiri daripada laluan kenderaan bawah tanah dua tingkat sepanjang 4km untuk lalulintas dari Jalan Sungai Besi ke Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Razak.

Menurut lamanweb Terowong Smart itu, kerajaan membiayai dua pertiga daripada kos projek tersebut, atau kira-kira RM1.3 bilion.

Pada 10 Januari lalu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah berkata, laluan tersebut akan dibuka percuma dalam bulan pertama operasinya. Berita asal