Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen ke-14, memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara itu dalam perutusan yang disiarkan pada jam 3 petang hari ini.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke- 14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.

"Saya mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing- masing.

"Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” kata perdana menteri.

Pengumuman Ismail Sabri ini akhirnya menjawab spekulasi yang berlegar beberapa hari sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat lalu.

Ismail berkata pembubaran itu sekaligus menutup suara-suara yang mempertikaikan keabsahan kerajaan dengan meletakkan pelbagai label seperti ‘kerajaan pintu belakang’ dan ‘kerajaan tebuk atap.’

“Parlimen penggal ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga perdana menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama.

“Ini memberi impak, yang buruk dalam sosio politik ekonomi,” katanya yang merujuk kepada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika era Pakatan Harapan, Muhyiddin Yassin selepas Langkah Sheraton pada 2020 dan dirinya iaitu pada Ogos 2021.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata penetapan tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.

“Dengan pengumuman ini, mandat dikembalikan kepada rakyat,” kata Ismail Sabri lagi.

Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya dimaklumkan mengenai pembubaran parlimen, ia akan menetapkan tarikh pilihan raya mesti diadakan sebelum 9 Dis.

Lihat Komen
ADS